Ahad, 31 Oktober 2010

Akhmal Oh Akhmal....2

"Akhmal ada kat lokap tepi kantin." Terpapar sms dari Akhmal di skrin talipon aku.

Aku ingat-ingat lupa hala ke mana kantin mahkamah ini.

"Sapa nama anak?" Tanya polis yang menjaga pintu.

"Akhmal"

"Ha... masuk. Ada di sana." Lembut suara polis itu. Sejuk sikit hatiku.

Berdiri Akhmal memegang jerejak besi. Ada 3 orang lagi di belakangnya. Seperti bukan rakyat Malaysia!

"Akhmal tak naik atas lagi. Sat lagi. Pukul 11 kot."

Aku ternampak seorang pak cik duduk di kerusi kantin. Pak cik ini aku pernah lihat dulu bertugas di pos pengawal pintu masuk pagar mahkamah. Pak cik ni orang di taman aku juga. Dulu dia berniaga.

"Eh, duduklah dulu. Dah minum?" Aku menolak. Rasa tak sedap hati. Tak mahu termakan budi.

"Anak kamu kes apa?"

"Curi motor dan xxxx"

"Dah naik atas?"

"Belum."

"Kalau kamu nak pak cik tolong, boleh. Anak pak cik ada kat dalam bilik nu. Dia lawyer."

Erkss.. Aku mula syak. Dan aku tahu kalau aku terus-terusan di sini, aku boleh terperangkap. Aku ni cepat cair juga orangnya kalau di pujuk. Dan lagi, aku ni susah nak tolak gesaan orang.

"Hari ni hari Jumaat. Selalunya kes akan cuba diselesaikan hari ni. Kalau nak, biar pak cik tolong. Ini hari Jumaat ni. Pak cik tak cakap tipu punya. InsyaAllah, boleh settle. Kalau anak kamu kena denda paling tidak RM2500. Atau 2 tahun masuk xxxx. Yang ni cuma RM500 je." Dan pak cik itu beredar ke meja sebelah, bercakap sesuatu dengan polis yang juga sedang minum di situ.

Aku tahu aku perlukan kekuatan. Perlukan sokongan. Di saat fikiran aku serabut ini, aku perlu pandangan pihak ke 3.

"Ayah.. lebih baik jangan. Ayah tunggu je apa mahkamah nak jatuh hukum. Nanti mahkamah akan bagi tempoh untuk kita fikir. Masa tu ayah talipon angah. Kita bincang."

Aku talipon juga Jabatan Kebajikan Masyarakat. Puan Maizura juga terkejut.

"Baru ni masa lapor diri kata dia ok je. Dah kerja. nak ambil lesen. Hari ni jadi lagu ni pulak!"

Aku garu kepala. Sengeh walaupun Puan Maizura takkan nampak.

"Macam mana, setuju tak dengan cadangan saya. Anak saya dok tunggu tu." Soal pak cik tadi dengan kopiah putih sedikit senget di kepala.

"Anak saya tak setuju. Dialah yang jaga Akhmal. Lagi pun JKM kata polis akan bagi laporan kat JKM sebelum jatuh apa-apa hukuman. Hari ni cuma untuk dapatkan perintah mahkamah je."

Dan aku pun cepat-cepat melarikan diri ke ruang menunggu di depan. Hasrat aku untuk minum, kantoi walaupun perut dah mula kruk..krak..!

Aku lihat jam hampir 12. Sempat makan agaknya sebelum solat Jumaat. Sambil menghidupkan enjin Kancil aku teringat dekat Masjid Sheikh Abdul Kader ada Caltex. Beli makanan ringan sahaja cukuplah kot. Aku pun bukan ada seleran sangat ni. Sekadar lapik perut takut gastrik walaupun taklah serius...

Sabtu, 30 Oktober 2010

Akhmal Oh Akhmal....1

Baru masuk ofis. Seperti selalunya setelah lampu, penghawadingin dan komputer di buka, aku mengambil tuala lembab. Hari ini hari Jumaat. Aku bercadang untuk 5S laci meja tulis aku. Sisih dan Susun semula barang-barang yang ada dalam meja seperti klip kertas, buku nota, kalkulator, pen maarker dan lain-lainnya.

Tiba-tiba talipon aku bergetar. Nombor Akhmal?

"Ayah ada di mana?"

"Tempat kerja. Kenapa?" Aku mula tak sedap perut.

"Ayah tak mai mahkamah ke?"

"Kenapa?" sambil melihat jam di di dinding. Hampir 9 pagi.

"Akmal kena bicara hari ni. Angah kerja ke?"

"Ha.. ya. Macam mana ayah boleh tak tahu hang kena bicara hari  ni?" Uh....

Aku terpempan sekejap merenung komputer yang sedang loading...

"Angah, Akhmal kena bicara hari ni. Dia talipon tadi." Aku cuba melihat sejauhmana Angah boleh bantu.

"Ha...la... Kan Angah dah peringat ayah semalam. Habis tu?"

Ye ke? Tak perasan pula aku. Mungkin kerana terlalu fokus pada ibu_suri menyebabkan aku memasuk telingakiri keluar telinga kanan kan peringatan Angah tu.

"La.. ayah nak tanya. Boleh tak keluar tengok Akhmal sat di Mahkamah BM tu?"

"Tak boleh ayah."

Aku faham kerana Angah baru saja mula kerja dengan MOX ini. Tentu dia tak ada cuti lagi ataupun tak berapa elok kalau minta time off untuk keluar.

Aku memecut kereta memecah angin jambatan Pulau Pinang yang merentasi Selat Melaka. Bergegar kereta aku sesekali dik hempasan angin yang kuat terutama bila bas memotong aku di lorong kanan.

Dah cuba talipon bos tadi tapi tak dapat. Cuma hanar e-mel beritahu yang aku keluar tengok anak dan cuba balik jika selesai dengan segera.


'Akhmal, inilah pengorbanan seorang ayah. Sanggup mengenepikan kepentingan dan keselesaan diri semata-mata mahu  melihat anak menjadi baik. Jadi orang. Terpaksa telan segala perlian orang. Terpaksa teguh berdepan dengan polis yang ayah lihat  paku di bahunya sahaja boleh melembutkan lutut ayah. Terpaksa berdepan dengan orang-orang yang kau aniaya semata-mata kerana pertanggungjawaban. Hari ini ayah terpaksa teguh untuk melangkah ke mahkamah. Satu-satunya tempat yang tidak sepatutnya ayah melangkah kecuali jika berbaju kot dan bertali leher.

Akhmal, kan ayah selalu berkata; daging itu walaupun busuk, dicincang di masak, dimakan jua. Itulah rasahati seorang ayah. Itulah rasa hati seorang yang mahu melihat kamu berjalan di atas landasaan yang betul. Cuma kamu ini entah kenapa masih tidak faham... masih tidak reti...

Entah apalah yang kamu cari dalam hidup. Kenapa kamu tidak menjadi seperti ayah seusia kamu dulu?'

Mujur jalan raya tak sibuk dan aku hampir sampai dalam masa yang kurang setengah jam!

Rabu, 27 Oktober 2010

DP SERI ROSMAH MANSOR



Pada pandangan tulus sebagai yang meminati lagu;
melodi - alunannya lembut.
musik  - sentimental dan mendamaikan.
lirik     - menyentuh jiwa jika di hayati. Ekspresi seorang isteri yang sedang melihat suaminya pada hari ini dan harapannya jika dia ditakdir sudah tiada lagi bersama.

Namun pandangan kalian?

Sahabat

Jam dinding lebih kurang 9.43 pagi bila talipon aku bergetar dengan sms dari blogger JH.

"Jom solat dhuha..."

Cepat-cepat aku habiskan merekod perenggan terakhir data-data kalibrasi. Begitu teruja aku dengan pelawaan JH yang begitu ambil berat terhadap aku.

Beginilah sepatutnya yang bernama sahabat. Saling ingat mengingati dari kealpaan. Saling ajak mengajaki pada amal kebaikan.

Dunia yang serba laju sekarang ini sedikit sangat kita temui sahabat yang sanggup menangis bersama bila kita susah dan senyum bahagia bila melihat kita senang.

Aku selalu memberi ingat pada anakku, Akhmal begini;

"Bila kita senang ramai kawan mengermuni kita bak semut menghurung gula. Akan tetapi bila kita dilanda susah tak ramai yang akan sapa kita dan bertanya khabar. Umpama bangkai, tak siapa kisah."

Dan nasihatku lagi;

"Kawan memang ramai. Tetapi tak semua kawan itu adalah sahabat."


Aku teringat kata-kata ini yang selalu aku tuliskan di akhir setiap surat yang aku kirirm kepada sahabat pena masa sekolah dulu;

'Kawan itu umpama pasir-pasir di pantai. Namun kawan yang sejati umpama sebutir mutiara di celah-celah pasir itu!'

Setibanya aku di surau, JH sudahpun sujud di rakaat terakhir. Aku perhatikan, lama sujudnya itu.

Aku tau, JH sedang berbisik dengan Kekasihnya seperti jugalah aku!

Ahad, 24 Oktober 2010

Jangan Risau

Selalunya keluhan ibu_suri di ketika tertentu ialah risau...risau...risau... Dan aku pula memujuknya dan berkata - jangan risau, buat apa risau dan lupakan risau. Itu cakap di mulutku saja walhal aku tahu bukan semudah itu untuk dia membuang kerisauan yang bukan dijemput pun.

Setiap hari doktor pakar Psikiatrik menasihatkan aku jangan mis memberi Epilim 400mg, Sertraline 50mg dan Risperidone 2mg demi untuk menstabilkan baham kimia di dalam darah ibu_suri. Dan itulah yang aku jaga kini. Doktor mau melihat dalam tempoh 2 bulan ini sejauh mana susunan baru ubat ini memberi impak. Kerisauan yang tidak berpunca itu barangkali disebabkan ketidakstabilan hormon di dalam badan.

"Tidak apa perlu dirisaukan, ok. Selalu ingat pesan abang ini;

1. Sabar dalam menerima dugaan hidup ini.
2. Selalu fikir secara positif dan berlapang dada.
3. Usaha untuk menjaga diri. Makan selalu, senaman dan keluar rumah supaya badan di sinari matahari.
4. Berdoalah pada Tuhan. Tak perlu tunggu di sejadah. Tak perlu tadah tangan. Berdoa masa baring, masa makan, masa berjalan dan setiap masa.

InsyaAllah, Tuhan itu Maha Mendengar, luas pengampunannya dan murah hatinya."

Aku tepuk perlahan-lahan belakang ibu_suri sambil memeluknya kemas-kemas. Emak aku yang baru datang dari kampung semalam memerhati saja gelagatku. Emak aku itupun baru saja lepas mandi. Walaupun terkesut-kesut ke bilik air namun kecekalan dan sikap positif emak seperti menjadi obor dan idola diriku. kesemuanya dia lakukan sendiri tanpa mahu dibantu.

"Biar mak buat sendiri. Ini pun satu senaman juga untuk mak."

Sebab itu senang jaga mak kerana sikap mak yang positif!

foto hiasan: IM dan blogger JH dalam perjalanan menyertai demo GMI


Sabtu, 23 Oktober 2010

Adakah Terusik?

Walaupun subuh Isnin lalu adalah subuh yang paling getir untuk aku dan Angah melihat tragedi yang trajis berlaku di depan mata,  aku tetap cuba teguhkan hati. Aku lalui hari siang seterusnya dengan wajah yang seperti tidak terjadi apa-apa. Hanya aku dan Angah sahaja yang tahu.

Aku bawa mak saudara ibu_suri, Cu Ton ke rumah kakak ibu_suri, kak Oyah di Taman Bukit Jambul. Mereka mahu bincang perihal tanah pusaka yang masih ada di Gunung Panjang, Gopeng, Perak.

Sedang rancak mereka berbincang, suami kak Oyah, Abang Sham balik dari Sekolah Agama Rakyat membawa pulang anak-anak angkat mereka.

Sedikit terhibur aku melihat keletah mereka 5 beradik. Nak kata nakal, tidak juga. Mereka sebenarnya anak terbiar. Abang Sham ambil mereka dari rumah setelah dapat tahu mereka ini ada bau-bau bacang dengannya. Keluarga lain tidak mahu memelihara mereka. Mau tidak mahu Abang Sham dan kak Oyah menyanggupi walaupun mereka sendiri sudah tua untuk menjaga anak-anak kecil lima beradik ini.

Emak mereka mengidap penyakit gila meroyan hingga tidak mampu mengurus diri sendiri. Anak-anaknya terbiar merayau-rayau mencari makan di tepi jalan atau meminta-minta. Badan mereka penuh kudis. Rumah mereka kotor dengan bau hamis, hancing dan  semut menghurung sisa makanan. Bapa sudah tiada lagi.

Abang Sham dan kak Oyah begitu sabar mendidik dan mendisiplinkan mereka. Kekadang aku sendiri tidak sanggup melihat mereka di rotan jika tidak mendengar kata.  Kalaulah kiranya aku  ditawar untuk menjaga mereka, belum tentu aku sanggup. Justeru aku wajar tabik pada keikhlasan mereka. Selut pada kesanggupan mereka menghabiskan sisa umur dengan tanggungjawap yang berat sebegini.

Sekarang kelihatannya, alhamdulillah, tingkah laku dan penampilan mereka sudah mula ada perubahan.

Ramai penderma dan NGO datang membantu termasuk NGO aku sendiri - Jamaah Islah Malaysia.

Hatta NGO non Muslim juga datang membantu. Kos membeli susu dan makanan ringan adalah antara yang amat diperlukan.

Sesekali bila difikirkan aku sendiri tidak sanggup menjaga mereka. Pagi-pagi hantar mereka ke sekolah. Tengahari ambil dan hantar pula ke SAR. Abang Sham akan memasak makanan untuk mereka.

Kalau kalian selalu berkata aku adalah suami yang penyabar dan setia pada isteri, Abang Sham mungkin lebih penyabar dan setia menjaga anak-anak istimewa ini.

Bagaimana kalian? Adakah tidak terusik dan tidak tergerak hati untuk membantu? Kerana mereka ini memerlukan sumbangan yang berterusan...

p/s: jika sudi bank in di no akaun CIMB - 07330000618202 -  ABU HANIFAH

Khamis, 21 Oktober 2010

Syurga Itu Tinggi Maharnya

Aku sesekali mengaleh pandangan ke kiri. Tampak wajah ibu_suri  yang suram. Air mata mengalir dan tumpah ke pipi. Berkaca-kaca disinari neon jalan. Aku faham dan turut menarik nafas panjang. Pastinya ibu_suri teringat Akhmal. Masih...

Segera aku teringat pada kawan akrabku. Kawan yang satu waktu dulu selalu bersama hingga dikatakan oleh lain-lain kawan seolah-olah kami ini saudara kembar. Bernasyid bersama. Bersilat bersama. Kemping bersama. Ke Gunung Tahan bersama. Malahan, ke Jepun juga bersama.

Nah, sekarang ini kami juga menerima mehnah yang hampir sama. Bergelut dengan   dugaan membesarkan anak bongsu yang terpesong jauh dari perjalanan yang lurus.

Tentunya kalau diceritakan kepada kawan-kawan lain seperti tidak akan percaya mereka.

"Eh, kamu kan aktif membuat program kebajikan. Menolong orang susah, Memberi kaunseling kepada orang yang bermasaalah. Mana mungkin kamu pula menghadapi anak yang bermasaalah?"

Ya.. Jika mengikut teori akal begitulah. Akan tetapi  sunnatullah mengatakan; lagi kuat amalan baik kamu, lagi kuatlah dugaan yang akan kamu terima.

Mahu tidak mahu kami berdua perlu terima hakikat takdir yang telah tertulis di Loh mahfuz.  Walaupun sebelum ini, semasa anak kami masih kecil dan semasa kami masih muda, tidak pernah terlintas akan berdepan dengan dugaan sebegini hebat di usia menjelang petang.

Rupanya, benarlah.: Syurga itu tinggi maharnya. Setiap yang layak ke sana mestilah melalui ujian yang juga tinggi harganya.

Masih ingat pesan mak; IM, kamu lalui hidup ini satu persatu dengan sabar. InsyaAllah, satu hari nanti akan selesailah semuanya.

Mata ibu_suri masih tetap pejam sedari aku mula bawanya keluar rumah hingga kini  sudah hampir kembali ke rumah. Beginilah aku saban malam. Sebaik sahaja balik dari kerja dan selesai sembahyang, aku akan bawa ibu_suri berjalan-jalan untuk hiburkan hatinya.

Kalau tidak aku yang menjadi teman hidupnya sejak 25 tahun lalu, siapalah lagi yang akan pedulikan dia!

Selasa, 19 Oktober 2010

Gugurlah Air Mata

Pilu rasa hati bila melihat ibu_suri menjenguk bilik Akhmal berkali-kali. Berselerak bilik itu seperti itu juga tidak berubah. Itu tandanya...

"Akhmal tak balik...?" Sambil matanya memandang aku.

"Mari abang cerita." Sambil  meletakkan barangan yang aku jinjing dan menekan suis kipas. Kami baru sahaja balik dari hadir ke rawatan susulan ibu_suri di unit Psikiatrik, Hospital Besar Pulau Pinang.

Sejak semalam aku simpan berita ini kemas-kemas di dalam dada. Cu Ton yang datang ke rumah aku sejak 2 hari lepas juga tidak tahu perihal ini. Kak Oyah yang sempat aku ziarahi semalam juga tidak tahu. Kak Ona yang tinggal dekat rumahku juga tidak tahu. Bukan masanya untuk aku beritahu.

Duduklah ibu_suri di kerusi kegemarannya sambil memandang aku yang sedang duduk bersimpuh di sisi. Aku pegang peha ibu_suri sehabis lembut. Dalam hati mengharap penuh pertolongan dari Ilahi.

"Akhmal kena tahan?" tiba-tiba ibu_suri membuat telahan.

Benarlah bak bicara pakar saikologi bahawa hubungan antara ibu dan anak itu terlalu rapat, abstrak dan halus. Gerak hati seorang ibu selalu tepat terhadap apa yang berlaku atau tersirat di diri anaknya walaupun cuma anak angkat.

Aku memandang tepat ke wajah ibu_suri lalu berkata; Ya! Subuh semalam, orang yang ketuk tingkap bilik  kita tu sebenarnya polis!

Lalu gugurlah airmata ibu_suri bersama gugurnya harapan.....!

Ahad, 17 Oktober 2010

Akhir Sebuah Kehidupan

Aku baru sahaja bercerita dengan anakku beberapa hari sudah. Di sepanjang pengalaman hidup aku selalu dapat lihat bahawa kebanyakan orang mati di dalam keadaan apa yang lazim dia perbuat saban hidup. Kalau dia selalu pergi kelab malam kemungkinan dia akan mati semasa berada di kelab malam. Kalau dia selalu pergi kerja naik motor merentasi jalan yang sibuk, dia mungkin akan mati di jalan raya. Kalau dia rajin ke masjid mungkin dia akan mati semasa dalam perjalanan ke masjid.

Tup! Tup! Semasa kami berdua menonton berita, terpampang cerita pergaduhan antara penyokong Kelantan dan Selangor semasa perlawanan bola sepak di Stadium Shah Alam baru-baru ini. Seorang penyokong Kelantan mati ketika berasak-asak.

Apabila di temubual oleh pemberita tentang keadaan anaknya semasa hidup, emaknya memberitahu bahawa anaknya itu memang kaki bola. Kalau ada saja sesuatu tentang bola, anaknya sanggup tak makan kerana itu.

"Tengok Angah! Kan betul cakap ayah!"

"Seboleh-bolehnya kita janganlah buat onar atas dunia ini. Tak mahulah nanti kita mati dalam keadaan hina. Biarlah mati kita dalam keadaan kita sedang berbuat sesuatu yang baik. Yang akan disebut dan dikenang orang walaupun jasad kita sudah lama tiada..." Sambungku memberi pesan pada Angah.

Rabu, 13 Oktober 2010

Lain Padang Lain Belalang

Tadi pagi Miss Su datang menghantar borang invitation ke Annual Dinner tempat kerjaku.

"IM ada pergi Annual Dinner ka?" sambil meletak borang berwarna kuning ke atas meja pabila melihat aku sibuk memuatkan kotak dengan equipment yang perlu dihantar ke SIME SIRIM untuk kalibrasi.

"Aiyo, I dah lama tak pi la. Dinner dengan wife kat rumah lagi ho liau..!" Jawabku berseloroh.

"Waa... You punya bilik cantik aaa... Kemas dan bersih. Lagi wangi... Tak macam masa XXX jaga dulu."

"Betoi ka..." Dan hatiku berbunga kembang semangkuk.

Pada aku yang lebih suka bersikap berlapang dada dengan apa yang ada di depan mata tak perasan pula hal ini. Aku mula berpindah kerja ke bahagian kalibrasi pada bulan Mei 2009. Walaupun kalibrasi ini bidang yang terlalu asing bagi aku namun aku cuba menghadamkan ke dalam diriku.

Di dalam bilik yang kecil dikepung oleh cermin ini akulah bos dan akulah cooly. Aku urus semuanya perihal urusan di bahagian ini.

Setiap pagi bila masuk, aku akan on semua lampu, pc dan penghawadingin. Kemudian capai tuala kecil lalu membasahkannya di bilik air untuk mengelap sebahagian dari meja dan rak bilik. Ianya salah satu dari disiplin 5S.

Kemudian aku melihat apa tugasan yang perlu aku buat pada keratan kertas yang telah aku senaraikan semalam; sebelum balik.

Selepas breaktime pertama barulah tugasan kalibrasi aku bermula sehingga jam 4.40 petang. Selepas selesai solat Asar, aku akan masuk ke lokasi kerja dan menutup suis penghawadingin. Aku mula menyenarai tugasan yang perlu aku buat esok.

Aku cuba seboleh-bolehnya mengganggap ofis aku ini seperti rumah ke 2. Aku jaga sebaik mungkin.

Malah adakalanya, bilik aku jadi seolah bilik kaunseling pula. Tempat kawan-kawan release tension atau seolah-olah R&R sebelum mereka ke tempat lain.

Aku selalu beritahu kepada kawan-kawan supaya cuba untuk berasa enjoy dengan kerja. Cuba jangan anggap ianya sebagai beban. Buat setakat yang terdaya. Sekemas mungkin. Se up to date mungkin. Sebtiasa open minded dengan semua pelanggan yang datang. Cuba cool dan solve problem mereka serta merta dan dengan bijaksana. Senyum dengan mereka walaupun hati sendiri banyak kadangnya serabut dengan masalah peribadi.

Itu bagi pandangan aku lah! Pandangan orang lain mungkin tak sama sebab lain padang lain belalangnya!

Isnin, 11 Oktober 2010

Maher Zain

Buat yang meminati beliau, sedikit info. Masih ada peluang untuk dengar atau temui beliau.

Berilah sokongan padu pada industri nasyid kita!

Sabtu, 9 Oktober 2010

What Is Your Program Today?

Aku tetiba dapat sms dari no +601945368XX lebih kurang berbunyi;

" Papa, what is your program today?"

Terpana aku sekejap. Mana pernah anak-anak aku bertanya soalan sebegini? Aku pun membalas sms tersebut;

"???"

Kemudian si +601945368XX membalas;

"Why. Salahkah anak bertanya kepada papa sendiri?"

Aku pun menjadi semakin ??????????

Aku ambil keputusan tak mahu ambil peduli. Buat sakit jiwa je. Aku padam semua sms itu bimbang nanti terbaca oleh Akhmal yang kekadang meminjam talipon aku bila dia kepapaan kredit.

Tak lama lepas itu si +601945368XX menghantar sms;

"Sori. Salah no. Ingatkan papa saya tadi."

Perghhhh.... Aku pun manusia biasa yang bukan malaikat,  tetiba grrr....@#$%^&^$#^&**&^$##@((*))

"Hik... Kalaulah isteri saya terbaca, tak ke perang besar kami nanti. Boleh porak peranda rumah tangga saya."

Uffss...... Aku segera teringat kes cerai berai yang berlaku sekarang ini. Bukan mustahil salah satunya berpunca dari situasi seperti ini.

Justeru, aku dan kamu...... hati-hati bila hantar sms!

Jumaat, 8 Oktober 2010

Masih teguh

Jam menjengah dinihari. Kenapa hati ini masih resah? Esok kan masih ada? Hujung minggu yang cuti. tentu banyak tugasan boleh di laksanakan. Servis kereta. kemas rumah. Memasak. Dan ziarah Mamat!

Khabar dari adikku - Mamat, mak akan datang esok dari kampung. Ziarah cucu terbarunya. Begitulah sikap mak aku. Seperti duta. Pantang saja ada perkembangan terbaru tentang anak-anaknya, segera dia datang menjenguk. Tak kisah dia samada ke Utara atau ke Selatan. Berkerusi roda atau mengisut. Dia hormati setiap anak-anaknya. Dia tahu, datangnya memang tak boleh tolong apa-apa tetapi cukup sekadar memberi sokongan moral.

Aku harap bila aku tua dan anak-anak aku sudah berumahtangga sendiri, Aku akan seperti mak. Ziarah mereka sesekali bertanya khabar. Kemudian kembali ke rumah sendiri dan menjalani kehidupan sendiri tanpa perlu menyusahkan anak-anak yang lain.

Mak begitu tabah. Sedari dia mula berkahwin hinggalah abah sudah tiada. Aku tahu itu semua kerana aku anak sulongnya. Anak yang pernah melalui susahpayah dan melihat sendiri airmata mak yang menitis lantaran terpaksa menelan aliran kehidupan yang pahit.

Makanya, malam ini biarpun resah bercambah, insyaAllah.... aku perlu untuk terus kuat dan teguh menempuh payah. Mak adalah idolaku ketika menungkah jiwa resah seperti saat aku mengetuk biji-biji huruf  laptop yang begitu setia menyalin suara hati ini...

koleksi set cawan mak yang masih tersimpan di dalam almari

Selasa, 5 Oktober 2010

Bila Difikirkan

Entah kenapa sejak tadi pagi hati aku dihurung resah.

Bila di fikirkan resah aku ada di tempat kerja. Khabarnya bos aku sekarang ini sudah tidak mahu lagi mengambil tanggungjawap menjaga bahagian kalibrasi. Maknanya aku akan bertukar bos. Bos yang baru belum pasti mahir dan baik seperti bos aku sekarang.

Sesekali fikir resah aku ada di rumah. Akmal sudah 3 hari tidak pergi kerja. Bermakna dia mempunyai banyak masa kosong. Masa kosong ini aku bimbang akan dipenuhi dengan berpeleseran bersama kawan-kawannya. Bila terlalu banyak berpeleseran bimbang akan banyak juga aktiviti yang tidak sihat dilakukan.

Dan rasanya aku juga bimbangkan hari esok. Aku ambil cuti kerana ada sesuatu yang perlu aku perbuat. Seperti yang pernah aku tulis sebelum ini. Aku ini seorang yang susah mengatakan tidak kepada harapan orang lain. Walaupun kekadang hendak menunaikannya itu bercanggah dengan naluri aku sendiri.

Dan aku juga bimbang tentang diriku sendiri. Bimbang pada hari-hari yang semakin tinggi. Pada daun-daun kering yang semakin banyak gugurnya. Bimbang pada perjalanan hidup ini yang semakin dekat dengan destinasi.

Apapun, aku ingin ucap syukur dan  tahniah buat adik lelaki bongsu aku yang dikurniakan anak kedua dan lelaki tadi pagi di Poliklinik Tan & Tan, Kebun Sireh, Bukit Mertajam,. Anak pertamanya meninggal dunia semasa dilahirkan.

Sebenarnya, aku menulis kali ini mengikut gerak hati. Tidak ada topik spesifik sebenarnya. Entahlah!

meja tempat aku menjalankan kerja-kerja kalibrasi. 
Pen hitam itu adalah pen kesayangan. 
kalau hilang aku akan beli semula pen jenis yang sama - ZEBRA 2+1

Ahad, 3 Oktober 2010

Bila Pemandu itu Perempuan

Semalaman ibu_suri tak boleh lena. Dan semalaman juga aku bangun entah berapa kali untuk memujuk ibu_suri yang meragam.

Esok pagi aku akan mula bekerja. Terasa cuti hujung minggu ini cepat berlalu. Tak sempat kemas rumah pun. Semalam aku hadir ke mesyuarat tahunan JIM Seberang Perai Tengah di SamaGagah. Petang aku kulitin dengan ibu_suri. Malam, adik pula datang dari Kulim sekeluarga beraya. Pagi ini aku lepas gian layari berita dan blog. Petang nanti cuba pujuk ibu_suri untuk keluar jalan-jalan. Dah seminggu ibu_suri terperuk di rumah. Perlu luaskan mindanya.

Mutakhir ini aku gemar keluar pergi kerja seawal 6.30 pagi. Sampai di parkir, jangkaan 7.30 pagi. Baca akhbar Harakah  atau majallah kartun Zunar yang dulu banyak aku beli tapi tak baca-baca. Jam 7.45 barulah masuk kerja.

Kalau keluar rumah lewat nanti mestilah lambat sampai ke tempat kerja. Paling leceh ialah bila hendak menempuh kawasan sekolah. Kalau ada kereta di depan yang bawa slow tu tau dah. Pemandunya sahih perempuan dan cikgu sekolah. Ambil peluang nak pintas sahaja. Tapi kalau keluar lambat, banyak kereta huu... terpaksalah telan pil sabar. banyak-banyak..

Tapi kalau yang jenis perempuan bawa laju ni pun satu hal juga. Pernah aku nak tukar ke lorong kanan dan bagi signal. Amboi, bukan main kedekutnya dia. Aku boleh nampak dari cermin sisi,  laju saja keretanya mara ke depan seolah-olah tidak benarkan aku ambil lorong dia.

Dan aku selalunya akan ketawa sendirian melihat gelagat begini yang selalunya tepat jangkaanku bahawa pemandunya pasti perempuan!


foto hiasan: perjalananku ke Cameron Highland melalui Simpang Pulai jem selama 8 jam.

Sabtu, 2 Oktober 2010

Huuuu... Sakitttt....

Sabar je aku membontoti keenderaan yang mengular di atas jambatan. Kak Ilah yang duduk di sebelahku dan pot..pet..pot..pet bercerita hal-hal kerja cuma aku beri respon sesekali. Kesakitan yang aku alami amat tidak menselesakan aku. Seakan mau saja aku terbang ke klinik. Huuu... sakittttttt......

Semakin berdenyut-denyut. 2 hari sudah denyutnya sikit sahaja. Sejak semalam mula ianya menggarang. Hari ini aku menjadi semakin mengerang. Aku teringat peristiwa yang lalu. Dik terlalu sakit seperti ini aku 'tawaf' depan tv dari pukul 2 hingga 6 pagi seorang diri...

Baru aku dapat rasai sendiri betapa kerdilnya aku. Sakit yang begini pun tidak tertanggungkan apatah lagi sakit tatkala Izrael mencabut nyawa. Itupun jika amalan berpahala semasa hidup banyak untuk dibawa bersama. Kalau yang banyak itu amal berdosa?

Memang sejak 2 menjak ini jambatan asyik jem. Sampai di klinik Ameen, Seberang Jaya pun dah jam 7. Aku harap klinik belum tutup. Tak ada orang yang datang selain aku dan doktor belum rihat untuk sembahyang. Masa aku bawa ibu_suri sakit dulu, aku terasa di'perli' apabila staf klinik minta aku tunggu dulu sebab doktor sedang sembahyang sedangkan aku belum lagi.

"Gusi awak sebenarnya bengkak.."

"Gusi saja. Gigi, ok?" Aku macam tak mahu percaya. Kalau benar ada gigi rosak aku nak doktor cabut aje. Kalau boleh sebaik keluar dari klinik ini aku tak mau sakit-sakit dah. Sengsara di buatnya...

"Awak makan ubat yang saya bagi nanti. InsyaAllah akan lega. Minggu depan awak datang balik. Saya cuci gigi awak. Banyak karang gigi."

"Betul ke doktor tak sakit nanti ni?" Sekali lagi aku ragu-ragu.

"InsyaAllah."

Aku tidak terus balik ke rumah malah singgah di gerai depan market Jalan Tuna untuk makan dan selepas itu telan ubat. Tak sabar rasanya untuk merasai nikmat yang paling hebat yakni nikmat tidak sakit.

Aku makan char koey teow sahaja sebab ianya lembut sedikit. Itu pun jenuh aku bertahan bila mengunyah.  Kunyah pelan-pelan kemudian aku telan. Tak dapat aku nikmati kesedapan  char koey teow. Malah terasa seperti untai-untai char koey teow yang melalui ke dalam usus masih dalam bentuk panjang tanpa hadam. 

Talipon bimbit aku terus bergetar. Aku tahu ibu_suri sedang menunggu  kepulangan aku di rumah dengan kerisauan. Namun bila di rumah nanti aku belum pasti boleh mensantaikan diri di katil. Biasanya ibu_suri lebih mengharapkan aku memberi perhatian kepadanya berbanding kepada diri aku walaupun dalam keadaan kesihatan yang terencat begini!