Ahad, 31 Julai 2011

Ramadhan

Tak lupa untuk menghantar semangkuk acar pada jiran belakang rumah. Wah, rupanya blogger JH sedang ralit menggantung lampu lip-lap. Gembira menyambut kehadiran Ramadhan. Isterinya sibuk melayan pelanggan yang memesan laksa. Laksanya memang sedap. Maklumlah, air tangan adik kepada taukeh Laksa Pokok Janggus yang terkenal di Balik Pulau itu.

Malam ini masjid dan surau mulai dilimpahi dengan jamaah. Persis solat Jumaat suasananya. Aku teringat akan kata-kata penulis Lutfi Othman bahawa umat Islam akan berjaya jika jamaah solat Subuh seperti jamaah solat Jumaat ramainya. Entah bila kebenaran kata-kata itu menjadi kenyataan.

Aku masih ingat. Ramadhan yang jatuh pada bulan Ogos ini sama dengan Ramadhan ketika ibu_suri mula di serang angin ahmar di Hospital Pakar Bukit Mertajam kira-kira 4 tahun lalu. Apabila aku membawa ibu_suri balik ke rumah setelah agak lama berada di rumah mak mertua di Lorong Buah Pala, sendirian akulah yang menjaga ibu_suri yang ketika itu masih belum menemui ubat yang sesuai dengannya. Emosi ibu_suri masih terumbang ambing. Naik darahnya begitu cepat. Tengking dan maki adalah lumrah.

Antara yang susah aku nak jaga ialah apabila anak-anak jiran bermain mercun. Tau sajalah. Tengah malam meletupkan mercun di lorong-lorong belakang rumah. Bunyinya memang boleh gugur jantung dibuatnya. Tak terkecuali ibu_suri. Ketika itu bergantang marahnya dan akulah yang menjadi punching bag.

Malam ini sekali aku bimbang. Solat Terawih malam pertama belum pun berkumandang dari masjid, bunyi dentuman mercun sudah bermula. Tuhan... Muga selamat adanya!

Sabtu, 30 Julai 2011

Pancit

Angah nak balik kampung dengan Ayu hari ini, tengok Opah. Aku pula perlu pergi kerja untuk sempurnakan dokumentasi di ofis lewat audit SIRIM Isnin ini. Kereta cuma ada satu.

Pagi tadi, diam-diam aku naik motor Angah untuk pergi kerja walaupun dia dan ibu_suri sebenarnya tak bagi. Dah terlalu lama tak naik motor memang rasa cukup gayat. Mujur hari Sabtu. Jalan raya tak sesibuk hari Isnin. Aku ambil keputusan untuk menaiki feri berbanding jambatan. Aku faham benar, jambatan bukan laluan bagi penunggang yang tak biasa dan cekap dengan terjahan angin laut dan angin lori kontena yang menerjah.

Barulah aku dapat rasakan sebenarnya perasaan dan 'sengsara' mereka yang menunggang motor saban hari ke tempat kerja. Nak ikut bahu jalan penuh dengan lubang dan batu-batu kecil. Ke tengah sikit hon kereta dan lori akan menluruhkan jantung.

Balik pun aku naik feri. Terasa di lebuhraya Dr Lim Chong Eu, angin memukul mukaku hingga pedih mata. Dan entah apa malangnya, sebaik keluar dari feri, tayar belakang motor aku pancit!

Jumaat, 29 Julai 2011

Sedap Itu Hanya Di Lidah

Foto ihsan sini
Dah lama ibu_suri minta aku belikan bahan-bahan. Katanya nak memasaknya sebelum datang Ramadhan. Nanti bila dah masak nak sedekah kepada saudara-mara dan jiran.

Sejak hari Selasa, ibu_suri mula persiang bahan-bahan yang dibeli dari kedai Kassim di pekan Bukit Mertajam. Kurma, limau, prun, kismis, biji sawi, bijan, lobak jeruk, bawang dan bla..bla... Kat mana lagi ada bahan-bahan ni kalau tidak di kedai mamak. Selepas di persiang, kena jemur pula supaya benar-benar kering.

Jadi, malam ni adalah malam dimana proses memasak bermula. Kesian tengok ibu_suri berdiri lama, aku tolong dia godek-godek periuk yang tungkunya agak tinggi bagi ibu_suri. Makin lama makin berat godekan.

"Sedap tak, bang?"

"Manalah abang tau. Abang bukannya peminat acar buah!" jawapku jujur.

Kekadang aku terfikir, orang dulu-dulu cukup inovatif mencipta makanan. Macammana boleh terfikir mereka nak cipta acar buah yang begini punya kompleks resipinya. Atau seperti lemang dan rendang yang paling aku minanti bila Hari Raya.

Di Pasar Ramadhan nanti mesti kita kan terjumpa lagi kuih muih atau lauk pauk yang begitu kreatif adunan dan ciptaanNya. Apap-apapun, sedap atau tidaknya itu hanya di lidah dan kerongkong. Dan sedap atau tidaknya dengan keizinanNya jua! Kekadang makan nasi dengan ikan kering pun cukup menyelerakan. Hendaknya di tepi sungai selepas penat menebas kebun seperti masa aku menolong Opah di kampung Ulu Slim semasa kecil dulu.

Menghadapi Audit Tuhan

Aku mula gelisah semula. Isnin ini ada SIRIM audit di tempat kerja. Aku gelisah kerana ujud lompang dalam tugasanku ke arah mematuhi prosedur yang ditetapkan berdasarkan kepada OI (Operating Instruction). Aku pasrah sahaja. Hari-hari yang masih berbaki, aku cuba sedayanya mengambus lompang itu.

Aku terfikir pula. Kalau sekadar untuk menghadapi audit SIRIM ini aku sudah terketar-ketar semata-mata kerana kurang satu dua persediaan, bagaimana pula ketika hendak menghadapi kematian? Katalah kalau esok aku ada temujanji dengan malaikat maut, akan gementar seperti inikah aku? Kemudian aku akan di audit oleh Tuhan, cukupkah persediaanku?

Tiba-tiba aku dikejutkan dengan sms dari adikku mengatakan Mak Yang, mak saudaraku baru sahaja meninggal dunia setelah nyanyuk yang keterlaluan beberapa tahun. Allahuakbar! Seorang lagi saudaraku mengadap Ilahi.

Bila mengingatkan kisah silam aku bersama dengan saudaraku ini terasa sebenarnya kematian itu dekat dan berada di mana-mana. Kita tidak ada masa untuk berkaraoke dengan ketawa. Cuma menanti masa sahaja ia memberi salam!

Khamis, 28 Julai 2011

Aku Bin Abdullah

Klik sini untuk sinopsis

Aku sempat tonton cerita ini di Astro kelmarin. Terkesan aku dengan drama ini. Aku tabik kerana temanya berlainan dari drama Melayu biasa yang selalunya aku kurang minat nak tengok.

Watak Mualaf ini mengingatkan aku pada program perkemahan bersama Saudara Kita yang diadakan oleh NGO Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang. Aku dan ibu-suri adalah antara AJKnya.

Pernah 2 kali keterlibatan kami. Pertama kali kami buat di Gunung Jerai. Kali kedua di Bendang Man, Sik, Kedah.

Harap kita menghormati Saudara Kita. Banyak benar maklumat negatif yang aku dengar dari Saudara Kita tentang sikap orang Islam asal yang memandang rendah kepada mereka. Sebenarnya kita terlupa bahawa mereka, jika jujur memeluk Islam adalah lebih suci dan bersih dari kita yang Islam baka. Malah jika ditakdirkan mereka mati ketika baru mengucap syahadah, mati mareka lebih mulia di sisi Tuhan berbanding kita.

Pada aku, pelakon Black memang berjaya menjiwai watak utama ini. Tapi nak tahu apa komen ibu_suri kelmarin? Aku terfikir juga logiknya walaupun aku tahu drama ini mungkin diskripkan begitu atas alasan tertentu.

"Takkan Tan tu dari kecil duduk kat rumah kebajikan tapi 'Ayah' dia tak islamkan dia. Takkan biarkan dia kafir sampai besar?"

Rabu, 27 Julai 2011

Biar Yang Ori

Foto ihsan PRO-NEO
Dengan jasa baik blogger HT, aku dibawa ke bengkel kereta Camar Auto di Tanah Liat. Selepas berbincang, kereta aku akhirnya terpaksa di tunda kerana berkemungkinan fuel pumpnya bermasaalah.

"Err... Abang tukar dengan part tulen proton, ya!" pintaku.

"Memang sebab fuel pump Wira model kahwin VDO ni, alang-alang tukar biar dengan yang ori. Susah sikit proses tukarnya. Tak sama dengan Wira model lama MMC"

"Berapa harga?"

"RM180. Model Denso. Kalau yang murah RM80 pun ada."

Hmmm.... nampaknya tak jadilah aku nak buat selenggara pendinginhawa sepertimana rancangan aku dan Angah semalam. Kesian Angah. Tentu perjalanan balik kampungnya nanti akan kehangatan. Pendinginhawa Wira ni dah tak berapa sejuk. Angah pula lansung tak balik kampung sejak hari walimahnya sebulan lalu.

"Balik la. Opah tanya banyak kali dah tu. Jangan menyesal pulak nanti." Begitu nasihatku pada Angah yang susah nak kemana-mana sebab cuti Ayu dan cuti kerjanya tak sama.

Selasa, 26 Julai 2011

Dunia Ini Kita Pinjam dari Mereka




Tribute buat Sudir - anak muda yang gigih dalam kerjaya
Kereta aku tersadai di depan SR Penanti sejak malam tadi. Injinnya mati tiba-tiba kala mengambil selekoh depan balai polis Kubang Semang. Kecewa panjang ibu_suri kerana tak dapat siar-siar seperti selalunya.

Sekumpulan anak muda sedang makan di gerai burger ramah bertanya dan mahu menolong. Sejuk rasa hati aku dengan sikap hormat mereka. Angah yang baru saja sampai ke rumah mertuanya berpatah balik membantu aku. Masing-masing kami tidak tahu apa puncanya. Ignition ada tapi injin tidak boleh hidup.

Akhirnya aku ambil keputusan untuk rujuk pada mekanik Kedai Asia Tyre sahaja, esok. Aku minta anak saudaraku datang ambil ibu_suri untuk dibawa balik. Bagi aku, ibu_suri adalah yang utama perlu diuruskan. Keadaan yang tidak selesa dibimbangi akan menyebabkan emosinya tak stabil.

Di rumah, aku cuma goreng mee sahaja dan makan berdua dengan se-mug kopi. Sambil minum aku terfikir akan anak-anak muda yang membantu aku tadi; yang sedang makan burger, anak saudaraku dan Angah. Mereka inilah aset negara yang diharap akan menjaga hari ini dan hari depan agama dan negara. Kita sepatutnya  menghargai mereka walaupun mereka mungkin berniaga burger sahaja.

Aku teringat kata-kata ini: 'kita bukan mewarisi dunia ini dari orang tua kita tetapi meminjamnya dari anak cucu kita.'

Ahad, 24 Julai 2011

Lemak Cili Padi

Hari ini ibu_suri sekali lagi beria-ia menyuruh aku ke pasar. Hari Selasa Ayu cuti. Dia nak ajak dan ajar Ayu masak gulai Lemak Cili Padi.

"Takkan Ayu tak tahu masak Lemak Cili Padi?" Aku sesaja test Angah ni. Dia cuma sengih sambil memicit-micit lutut ibu_suri.
Foto ihsan sini

"Biasalah kalau dah bekerja dari muda. Tak sempat nak belajar memasak. Macam ibu juga dulu. Tapi ibu cepat belajar. Salah satu gurunya..tu..Mak Cik Normah yang jaga kamu masa kecil." ujar aku mengimbau kenangan.

"You ajar dia cukup-cukup. Biar dia expert memasak macam Along. Jangan dia pengsan dah lah. Kawan tu bukan sihat sangat." ujarku merujuk kepada Ayu yang dah mula alah..

Tiba di pasar pun jam dah 11. Malas benar aku. Dah lama tak ke sini. Lama sejak ibu_suri di serang Ahmar 4 tahun dulu.

Senarai panjang yang aku pegang aku teliti satu-satu. Sebetulnya, duit aku pun bukan ada sangat. Bertahan hingga 25hb. Tapi ibu_suri tidak tahu. Memang aku tak beritahu. Aku tak mahu dia rasa kecewa. Aku buat-buat macam ada duit bila dia juga minta belikan daging untuk dimasak ala-ala Paprik.

Sabtu, 23 Julai 2011

Duduk Lama Cepat Mati

Malam tadi ibu_suri mahu sangat makan capati. Aku bawa ke gerai DIL RUBA di Pasar Awam, Jalan Tuna, Seberang Jaya. Aku pernah makan di sini. Kata ibu_suri, capatinya sedap bila dimakan bersama rendang daging. Ada hirisan daun limau purut dan daun kunyit. Yang tebar roti pun Mami.

Sambil makan itu aku mencuri dengar perbualan Mami dengan pelanggannya tentang Diabetes. Mmmm... saiz badan mami yang XXXL pun memang ciri-cirinya.

Di gerai depan, ibu_suri order teh ais sedang aku cuma air suam. Taukehnya Mamak. Badannya gabai. Aku lihat sedari aku sampai hinggalah aku membayar, dia hanya duduk di kerusi kira duit.  Pekerjanya sahaja yang membuat dan menghantar minuman.

Aku teringat akan artikel tentang duduk yang terlalu lama akan mempercepatkan mati di sini. Sejak aku terbaca artikel ini aku berusaha untuk ubah gaya bekerjaku. Aku selang seli menulis berdiri dari selalu duduk.  Atau berjalan-jalan keluar jika merasakan punggung dah kebas. Sejak bertugas di bahagian kalibrasi ini aku perasan jantung aku bergerak perlahan.

Khamis, 21 Julai 2011

Erti Marhaen

Respon kepada Nur ( blogger All In One ):

Tak tahu pun. Bila dia tinggalkan nota di kotak cit-cat blog, baru aku teraba-raba dagu. Maaflah AIO. Memang aku tak perasan kerana bukan senantiasa aku dapat buka blog.

Aku pun mencari-cari tulisan AIO tentang aku di sini. Senyum sendirian aku. Dan baca lagi di sini. Hah.. tambah lebor senyum aku. Besar hati. Insan se marhaen ini mendapat pos istimewa walaupun bukan di muka depan akhbar Utusan Malaysia tetapi di blog AIO sudah cukup untuk rasa macam nak terbang ke langit.

Sebenarnya selain AIO, sebelum ini ada beberapa blogger yang sudi menulis tentang aku. Sayangnya aku dah lupa tapi antaranya seperti di blog Bearcat dan Jendela Hati.

Tentang kenapa aku memilih nama Marhaen ialah kesesuaian dengan peribadi aku. Seorang lelaki yang biasa-biasa sahaja. Tak pandai berdebat. Tak pandai dalam apa-apa pun. Hanya ada sikit-sikit bakat menulis. Tapi nak tau, ada antara kawan-kawanku yang beria-ia minta aku tukar nama Marhaen itu. Kata mereka aku terlalu merendah diri. Well.... Itu pandangan mereka. Aku hormati!

Perkataan Marhaen sebenarnya aku mula jumpa dalam sajak-sajak PyanHabib dan maknanya seperti di  sini. Terima kasih. Teruslah menulis, membaca dan maha penting ialah mengambil iktibar!

Selasa, 19 Julai 2011

Aqiqah Bukan Berendoi

"Bila jangkaan kelahiran anak?" Tanyaku pada Ayu sebaik sahaja masuk ke rumah dan melihat dia di kerusi.

"Lima haribulan dua!"

"Jangan lupa simpan sikit duit untuk buat kenduri Aqiqah. Paling afdal hari ke 7. Bagi nama yang baik-baik. Jangan bagi nama cantum sana cantum sini. Cukur rambutnya"

"Angah cadang nak buat majlis naik buai kat rumah Opah, boleh ayah?" Soal Angah.

"Yang mustahak tunaikan aqiqah. Naik buai ni pengaruh budaya Hindu. Bolehlah buat kalau niatnya cuma untuk meraikan hati Opah dan keluarga ayah."

Banyak lagi perkara yang perlu aku beri faham dan memperbetulkan silap faham antara budaya, adat dan tuntutan agama kepada anak menantuku ini. Yalah, mereka pun lahir di tengah-tengah masyarakat Melayu yang masih celaru antara adat dan tuntutan agama. Tak salahkan mereka juga!

Isnin, 18 Julai 2011

Gunting Rambut

Rengeknya supaya aku menggunting rambutnya yang dah mula panjang itu, lama dah! Cuma aku sahaja yang taici. Aku mana biasa gunting rambut orang. Hatta rambut anak-anak aku sendiri aku suruh orang lain cukur semasa berumur 7 hari dulu.

Mahu tidak mahu aku ambil gunting serbaguna di dapur. Itu saja yang ada. Aku gunting rambutnya, berhati-hati. Bimbang tergunting pula telinganya, mana tau! Tak apalah kalaupun herot petot, fikirku. Dia pakai tudung, orang lain takkan nampak.

"Macam mana rambut you? Ok" tanyaku semasa aku bawa dia bersiar.

"Ok!" sambil senyum. Senyum yang isinya lansung tiada prasangka negatif terhadap aku. Alahai isteriku..... Muga Tuhan berkati masa-masa yang masih berbaki di penghujung usia kita ini!

Ahad, 17 Julai 2011

Fe'el Berubah-ubah

Fe'el ibu_suri memang selalu berubah-ubah. Yel..lah, bersesuaian dengan nama sindromnya - mood dis-order, kan! Letih juga aku hendak menyesuaikan diri. Perlu ikhlas dan kental sabarnya. 

Pernah aku ditawarkan oleh hospital untuk hadiri kursus penjagaan ibu_suri. Ramai penjaga mudah berputus asa kerana tidak tahan kerenah dan akhirnya tinggalkan mereka terabai.

Sebulan dua ini ibu_suri lebih suka makan di dalam kereta. Justeru kereta aku senantiasa ada pinggan, sudu, air dan tisu. Sudahnya, kereta aku juga ada bermacam-macam bau.

Malam tadi, kami beli nasi di gerai depan LongWan, Kepala Batas. Kami kemudiannya singgah di Petronas dan makan di dalam kereta. Sambil sediakan makanan aku sempat bernyanyi...'Kini kita tinggal berdua.. yaaaahuuu...'

Sabtu, 16 Julai 2011

Cinta 5 Lupa 5

Semalam, Jumaat. Aku selalunya tunai solat di Masjid Bayan Baru sesama dengan kengkawan menaiki bas sewa khas oleh majikan.

Kerut kening juga bila lihat satu demi satu kereta polis masuk ke ruang parkir masjid. Ushar ahli jamaah yang pakai baju kuning kot, getus hatiku. Ah, takkan sampai ketahap cipan racau mereka nih!

Selesai sunat qabliyyah, Khatib pun mendaki mimbar. Tak sangka, rupanya itu Ust Hussain Yee. Luas mata aku mendengar khutbahnya. Bernas dan segar. Antara isinya yang menjentik hati kehambaanku ialah kupasan sabda Nabi. Aku kongsikan di sini.

'Akan datang waktunya umatku akan mencintai 5 lupa kepada 5:

1. Mereka cinta kepada dunia tetapi lupa kepada akhirat.
2. Mereka cinta kepada harta benda tetapi lupa kepada hisab.
3. Mereka cinta kepada makhluk tetapi lupa kepada Pencipta.
4. Mereka cinta kepada dosa tetapi mereka lupa untuk bertaubat.
5. Mereka cinta kepada gedung mewah tetapi lupa kepada kubur.'

Jumaat, 15 Julai 2011

Aduh!


Aku perasan berat badan ibu_suri bertambah. Setiap kali hendak bangun, dia akan ber-aduh! Bolehlah jika hendak disapukan minyak Kayu Putih di kawasan sakitnya itu akan tetapi terlebih baik ialah mengurangkan berat badan. Itu saranan doktor sebenarnya.

Namun untuk ibu_suri,  berusaha mengurangkan berat badan agak payah. Nasihat dari aku udah berbuih tapi banyak sangat etongnya mau makan itu dan ini pabila laparnya tiba

Orang seperti ibu_suri ini peliknya ialah akan makan banyak bila susah hati. Sebaliknya aku, tidak lalu makan jika  dalam keresahan.

Otak aku masih ligat mencari formula untuk menangani permasaalahan berat badan ibu_suri. Tak sanggup untuk mendengar aduh-nya itu saban kali.

Khamis, 14 Julai 2011

Kasih Sayang Ibu


Seperti selalunya aku akan memeluk ibu_suri sebelum pergi kerja. Memberinya nasihat dan peransang untuk terus sabar dalam hidup. Dan seperti selalu itu jugalah ibu_suri akan merembeskan airmata menyatakan kesunyiannya semenjak Akhmal sudah tiada lagi di rumah ini.

Begitulah kentalnya kasih sayang ibu_suri terhadap anaknya ini. Walau apapun perlakuan ‘onar’nya terhadap kami, ibu_suri tetap menyayangi dan mendoakan kebahagiaannya.

Aku harap, pabila berada di alam dewasa dan  bebas terbang seperti merpati, Akhmal tidak akan melupakan jasa dan kasih sayang ibu_suri. Membalas jasa dan kasih sayangnya  ini tidak perlu dengan  intan permata.  Memadai dengan  secukup rasa garam dan gula.

Aku teringat kata-kata yang adikku pernah emel beberapa bulan lalu:

‘When we drink water from the well, try not to forget those who dug up the well’

Rabu, 13 Julai 2011

Kebersihan Di Hati


Selalunya, sebaik sahaja aku masuk ofis, perkara pertama yang aku buat ialah mengelap permukaan meja dan rak kabinet, pintu dan dinding cermin. Begitulah tiap-tiap pagi. Tidak hairanlah kalau pelanggan aku yang datang selalu memuji;

"Wah, you punya bilik kemas dan bersih lah. Tak macam dulu. Lagi, wangi pulak tu!"

Tapi mutakhir ini aku dah mula ngelat. Lalu makin lama aku mula merasa tidak selesa. Seperti habuk melekat di lubang hidung bila disetiap kali bernafas.

Semalam, aku mula mendisiplinkan diri mengelap meja dan rak kabinet seperti sebelum ini. Pewangi pun nampaknya sudah mula hambar tandanya perlu diganti baru.

Halaqah mingguanku sebentar tadi membincangkan tentang hidayah yang hanya akan turun ke hati yang bersih dan tulus. Aku teringat hubungkaitnya dengan aktiviti mengelap meja dan rak kabinetku setiap pagi. 

"Kalau pinggan kotor kita cuci dengan sabun, hati kita pula perlu dicuci dengan zikir dan Quran. Jadi saya harap mulai dari hari ini kita berpuasa sekurang-kurangnya sebulan sekali, baca Quran setiap hari, solat sunat ba'diyah dan qabliyah setiap waktu dan berusaha untuk bersolat jamaah."

Untuk melaksanakan kesemua itu secara konsisten tentunya tidak semudah mengelap meja dan rak kabinetku setiap pagi. Akan tetapi tidak guna juga kalau ofis bersih tetapi hati tuan kepada ofis tidak sebersih ofis, kan?

Selasa, 12 Julai 2011

Bahasa Budak Tecik

Aku pernah dis-able satu blog dari sisipan semata-mata kerana bloggernya menggunakan bahasa sms hampir 50% dalam hampir semua tulisannya. Otak aku letih dalam memahami barisan perkataan yang ditulis secara short form. Aku selalu skip perenggan bila membaca dan akhirnya komen ala kadar sahaja.

Kini, ada satu lagi trend yang aku perhatikan iatu bahasa budak kecik. Itu jadi ittew, actually jadi ekcelli, kecil jadi tecik. Yang lebih menyedihkan profesion blogger itu adalah guru.

Tak fahamlah aku bagaimana carafikir mereka dalam menghayati dunia penulisan. Sedangkan aku yang sedari sekolah menengah belajar dalam Aliran Sains dan kerja pula dalam bidang Teknikal, semampu boleh mahu menulis menggunakan bahasa Melayu yang indah.

Kalau setakat sesekali terkeluar sikit dari laman Bahasa Standard itu masih ok. Terlalu dikongkong oleh etika Bahasa BAKU pun tak meriah dan terpenjara pula daya kreativiti. Kita bukannya penulis ilmiah tetapi penulis kreatif. Cumanya janganlah kretiviti membunuh hasil seni.

Dalam banyak-banyak penulis mutakhir ini yang aku suka membaca artikelnya ialah Ahmad Lutfi Othman.

Ahad, 10 Julai 2011

Gulai Taucu

Beria-ia ibu_suri mahukan menantunya - Ayu, memasak gulai Taucu ikan, esok. Ah, sekilas ikan di air. Aku dapat merasakan masih terlalu banyak yang dia perlu pelajari sebagai seorang isteri.

"I boleh ajar dia masak. Tak usah risau." Hmm... Yelah tu!

Aku pun ke pasar basah Penanti. Dah lama aku tak ke sini. Semakin ramai orang yang berniaga makan di gerai tepi parkir. Ramai juga yang berniaga baju dan barangan plastik. 

Ya... Aku perasan, semakin ramai orang berniaga sekarang. Kalau setakat nak makan di kawasan Penanti ini, boleh dikatakan 24 jam tak perlu jauh-jauh mencari. Ini adalah indikator yang menunjukkan bahawa pembiayaan untuk terus hidup semakin meningkat. Makanya, usaha tambahan mencari pendapatan perlu digandakan.

Aku belek-belek akhbar Harakah. Ah, tidak ada pula berita-berita terkini tentang BERSIH semalam. Aku sebenarnya semakin kurang berselera membeli Harakah. Beritanya selalu out dated. Kemudian, hampir 75% muka suratnya mencecer tentang isu yang sama.

Teringat akhbar Sinar Harian yang lebih nuteral pemberitaannya. Huish... Hampir 4 kedai yang aku singgah kehabisan stok walaupun jam belum pun 12 tenghari. Akhbar Metro, Kosmo apatah lagi Mingguan Malaysia masih menimbun!

Sabtu, 9 Julai 2011

Potensi Anak Muda

memori semasa hadir di demo GMI dulu.

Aku mengikuti perkembangan terkini dari laman sosial twitter di sini. Terasa ralat kerana tidak dapat ikut serta. Rasa terujanya bila mengenang hebatnya mereka mempertaruhkan keselamatan diri semata-mata ingin melihat keadilan dan kesaksamaan dipertegakkan. Boleh saksikan semangat mereka di sini.

Potensi diri anak-anak muda jika dipupuk, dicanai dan digembeling ke arah kebaikan memang menepati kata-kata oleh Bung Karno ini:

“Berikan aku 1000 orang tua, niscaya akan kucabut semeru dari akarnya, berikan aku 1 pemuda, niscaya akan kuguncangkan dunia”.

Syabas buat anak-anak muda yang kini memahami erti realiti perjuangan yang sebenar. Bukaan sekadar makan di KFC dan berborak tentang keamanan dan keadilan di depan komputer. Biarlah apa orang lain kata apa. Mereka tidak pernah turun merasai denyut nadi jalan raya selain hanya berdebat santai di depan tv cuma.

Jumaat, 8 Julai 2011

Nasi Lemak Kukus

Aku selalu bawa ibu_suri makan di JOM PEKENA NASI LEMAK KUKUS, tak jauh dari Restoran BIB, Kulim. Sambalnya memang sedap. Selalunya ibu_suri akan ambil kerang dan sardin. Aku pula apa-apa pun ok, tak kose nak banyak ragam.

Tapi semalam kami diberitahu restoran ini akan berpindah ke Jalan Putra, di belakang Bank Muamalat. Yang best di sini ialah layanan mesra pengurus kedai dan pelayannya. Manis senyum mereka membuatkan aku tidak kekok bila membawa ibu_suri. Maklumlah, ibu_suri ini agak banyak serongeh. Tanya nak minum air apa, agak seminit dua juga baru terpacul dari mulutnya... milo ais. Itupun, kekadang aku heh..heh..heh.. juga bila dia persoalkan semula tatkala milo ais dah sampai ke meja;

"I bukan mintak teh ais?"

Aku akui akan tulisan oleh AHP di sini. Hanya mereka yang melaluinya dengan sabar sahaja akan mengerti hakikat perlunya insan instimewa seperti ibu_suri ini dihargai dan dijagai sebaiknya. Ini adalah amanah Allah yang tinggi maharnya!


kamus:
serongeh - ragam;  tak kose - tak mahu

Rabu, 6 Julai 2011

Baqarah, 30

Malam ini Halaqah di adakan di rumah rakan bloggerku Habuna Trading yang tinggal tidak jauh dari sini.. Ini adalah program mingguan yang wajib untuk aku sertai demi memantapkan diriku sebagai individu mukmin.

Kami mengupas surah Al Baqarah ayat 30;





Bermaksud;

" Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya. "

Besarnya tanggungjawap kita selaku Khalifah di muka bumi ini. Kita di amanahkan untuk menjaga keamanan dan keharmonian bukan sahaja sesama manusia malah ke atas tumbuhan, haiwan dan gunung ganang. Sedangkan tabi'i kita hanyalah suka bermusuhan dan menumpah darah.

Kau dan aku tergolong dalam kelompok manusia yang bagaimana agaknya, ya?

Ahad, 3 Julai 2011

Sepi Di Hujung Hari

Aku perlu menerima hakikat bahawa satu hari nanti aku akan kehilangan penguasaan terhadap anak-anakku sendiri. Mereka akan sibuk mengemudi bahtera hidup mereka sendiri dan aku tidak layak untuk campur tangan.

Bila aku memandang wajah mak tatkala balik ke kampung bebaru ini barulah aku mengerti akan kesepian hidup sebagai orang tua. Hendaknya pula kesepian itu terpaksa mak aku tanggung seorang diri kerana abah sudah lama pergi.

Aku masih beruntung rupanya. Pasangan hidupku masih ada di sisiku sebagai teman berbicara dan bergurau senda walaupun serinya seakan-akan hilang tanpa suara nakal anak-anak.

Aku masih beruntung kerana punya kengkawan di tempat kerja atau kengkawan  bila melibatkan diri dengan usrah dan program amal IKRAM. Tapi ibu_suri? Yang sejak menghidap sindrom mood dis-order ini asyik terperap di rumah menanti aku balik kerja di setiap hujung hari.

Namun setidak-tidaknya ibu_suri masih perlu bersyukur juga kerana masih ada aku yang setakat hari ini masih ikhlas menjaga dan ambil peduli tentang makanpakai dan keluhkesahnya. Masih belum ada niat walau setitik pun untuk meninggalkan dia begitu sahaja.