Isnin, 31 Disember 2012

Hari-Hari Terakhir Aku Bersama JIM

Aku abadikan di sini gambar-gambar aku semasa menghadiri Perhimpunan Perwakilan Nasional (PPN) Khas Jamaah Islah Malaysia yang di adakan di Darul Puteri, Cheras pada hari Sabtu 29 Disember 2012 lalu. 

Berbanding 22 tahun usia JIM (27/7/1990 ~ 29/12/2012), apalah
sangat dengan penghormatanku ini berbanding jasanya terhadap
 perjalanan hidupku!
Memang terasa amat sebak bila menyanyikan lagu JIM di saat terakhirnya
sebagai sebuah organisasi yang tulus dan teguh. 
Sebenarnya aku juga
sedang menahan airmata dari tertumpah ke pipi!
Sahabat baikku yang aku hargai kesetiaannya bersamaku dalam susah
 senang di jalan dakwah bersama JIM...
Memang aku sungguh-sungguh mengaminkan doa ini kerana amat
bersyukur dapat bertemu JIM yang akhirnya berjaya menemukan aku
dengan jalan dakwah seperti hari ini!
Lagu rasmi JIM

Lagu 'Jalan Dakwah'

Aku rasa cukup beruntung kerana dapat bersama-sama dengan sahabat seperjuangan menghormati hari-hari terakhir sebuah organisasi yang telah banyak mengajar aku erti kehidupan dalam dakwah masyarakat.

Kini aku beraleh kepada IKRAM; medium perjuangan yang lebih besar dan segar. Walaupun aku masih ditahap 01 di segi pengkelasan tarbiyah namun bagi aku yang utama bukan ditahap mana tetapi sejauhmana aku dapat bersamanya di dalam arus perdana perjuangan. Tuhan, berikan aku kekuatan untuk bersamanya!

Ahad, 30 Disember 2012

Muffins

Sejak aku menghadiri PPN Khas JIM di Darul Puteri, Cheras Sabtu lalu, baru sekarang ini aku berpeluang membuka blog kerinduanku ini.

Bersama se-mug teh tarik LARAS yang baru aku beli tadi (tapi tak sehebat rasa Alitea kegemaranku) dan sebungkus Mighty White muffins (juga kegemaranku) sabar aku membaca blog dan menatap foto-foto yang muatnaik ke laman sosial FB. 


Aku biarkan leteran ibu_suri memasuki telinga kiri dan keluar ke telinga kanan. Tak tahu kenapa, sejak aku tertidur di katil petang tadi (sebaik balik dari menjenguk Akhmal di Sungai Petani), ibu_suri asyik berleter. Serba tak kena aku dibuatnya. Hinggakan aku jadi seperti robot, ikut saja apa yang dia mahu dengan harapan leterannya reda.

Letih berpergian ke PPN Khas semalam masih belum hilang ditambah pula terpaksa memikirkan Akhmal yang ditambah tempoh tahanannya kerana kes yang satu lagi. 

Aku tahu, ibu_suri sebenarnya tidak gembira dengan berita itu dan kepada akulah dia lampiaskan kesemua ketidakpuasan hatinya itu!

Khamis, 27 Disember 2012

Nasi Ayam Madu Tiga

Sesuatu yang aku hormati pada sikap ibu_suri ialah ringan mulutnya mengucapkan terima kasih bilamana aku berbuat sesuatu untuk dia. 

Dalam perjalanan balik, aku singgah di Pasaraya Ayam Ori, Kubang Semang membeli nasi ayam madu tiga  rasa.


Di rumah, aku terus ke dapur menyalin nasi ayam itu ke dalam pinggan kegemarannya lalu hidangkan beserta minuman.

"Nasi apa ni?" tanya ibu-suri sambil meninjau-ninjau.

"Nasi ayam madu tiga" jawapku selamba. Bersedia juga kalau-kalau kena 'sembur' nanti. Nasib baik ibu_suri tak perasan. Sebaliknya dia menunjukkan riak gembira sambil mengecap liur lalu berkata;

"Terima kasih! Terima kasih! Saaayang abang!..."

Rabu, 26 Disember 2012

Daie Sejuta Ummat

Hajat aku untuk memulakan sikap gemar membaca buku sebenarnya sudah lama. Cuma pencetusnya itu saja yang belum terbit.

Semasa aku layan mata di gerai hadapan Masjid Umar Al Khattab, Bayan Baru menunggu azan sembahyang Jumaat, aku terpandang buku ini:

Membaca sinopsisnya saja sudah buat bulu roma meremang. Tanpa fikir panjang, aku membayar RM24.90 pada pemilik gerai.

Muga buku ini tidak menjadi pemenuh laci dalam bilik aku saja. Azam tahun baru, paling tidak khatam sebuah buku...hik!

Selasa, 25 Disember 2012

All United For GAZA

Tiada daya tumpuan untuk menulis. Ragam ibu_suri yang berbagai buat aku sekadar membaca dan berbuat sesuatu yang lebih bersifat teknikal.

Aku muatturun gambar-gambar semasa konvoi GAZA ke Padang Kota Lama yang mula di muatnaik ke FaceBook oleh rakan-rakan seperjuangan. Aku tidak ada kamera. Jadi, aku tidak mengambil apa-apa  gambar pun di sana.

Aku kongsikan di sini antaranya untuk renungan dan motivasi bersama. Kalian tentu boleh agak yang mana satu gambar aku - lelaki retro ini, kan?

Flagoff di rumah blogger JH, Taman Guar Perahu 
(belakang rumah aku je...)
Masjid Permatang Janggus - menerima sumbangan
Surau Ara Rendang, Permatang Pasir
Surau Taman Sutera Prima, Seberang Jaya
Masjid cerok Tok Kun, Bukit Mertajam
Penyerahan mok-up kutipan dari IKRAM Seberang Perai Tengah
kepada wakil AQSA SYARIF
Pentomen gambaran suasana di GAZA
Bacaan sajak oleh Nurul Iman. Kelihatan Afdllin Shauki (kanan)

Aku tidak mengikuti program ini hingga tamat (jam 9 malam) kerana menguruskan ibu_suri yang perlu ke bilik air dan seterusnya mengambil keputusan untuk terus balik kampung - ziarah mak apabila terasa terlalu tidak selesa dek hujan dan kepayahan melayan kerenah ibu_suri!

Ahad, 23 Disember 2012

Beauty Umaira

pautan

Balik kampung tadi ziarah mak. Mak seperti biasa, tenang saja menghadapi hari-hari payahnya di penghujug hidup. Kesaorangan mengisi hari-hari sepi.

Tak sangka rupanya akhir-akhir ini mak mula mengamalkan meminum Beuty Umaira. Aku pun baru saja terbaca tentang ia di akhbar beberapa hari lalu.

"Produk ni untuk orang muda aje mak.." usikku.

"Ala.. abang ni!" tepis ibu-suri pula.

Aku memang sedang mencari kaedah sesuai untuk mengatasi masalah kompikasi kesihatan ibu_suri. Obes, hipertensi, diabetis bercampurbaur dengan mood di ordernya memang sukar nak diurus jika tidak disulami dengan sabar, banyak berlapang dada dan mengkesampingkan kepentingan diri sendiri.

Aku cubakan sepeket untuk ibu_suri. Seperti biasa sebelum ibu_suri mencuba sesuatu yang baru, aku akan cuba meminumnya dulu. Rasanya ok. Perisa oren.

Menurut kata ibu_suri, impian mak jika boleh kembali berjalan semula, mak berhajat untuk membuat umrah pula!

Dalam perjalanan balik ke Penang, bukan main lagi ibu_suri merayu aku untuk membelinya. Aduh... bukan apa. Harganya tu, sayang oooiiii.....!


Sabtu, 22 Disember 2012

Padang Kota Lama

Blogger JH dan WN berduet selaku DJ 

Mula konvoi dari rumah Blogger JH jam 9 pagi. Beberapa lokasi kami singgah, menerima lagi sumbangan dan mendengar tazkirah. 5 jam berkonvoi dengan bantuan polis trafik akhirnya kami tiba ke Padang Kota Lama pada pukul 2.30 petang. Jumlah terakhir kutipan yang berjaya kami kutip ialah RM21 ribu. Khabarnya Afdlin Shauki dah pun sampai ke Pulau Pinang jam 11 pagi lagi.

Syukur kerana ibu_suri tampak ceria di sepanjang konvoi. Gembira dia kerana dapat bertemu semula dengan ramai teman seperjuangannya dulu. Ada di antara mereka yang mengajak ibu_suri aktif semula membuat kerja amal masyarakat. Tapi aku rasa mereka juga faham akan keterbatasan ibu_suri kini.

Sayangnya, ibu_suri yang mengalami masalah pergerakan terpaksa duduk saja di kereta. Hujan  renyai mula turun buat aku rasa kurang selesa mengenang kebajikan ibu_suri. Dan lebih susah bila ibu-suri mengadu hendak buang air. Di Padang Kota Lama..... mana aku tahu di mana ada tandas khas untuk OKU.

Akhirnya aku ambil keputusan untuk keluar dari kelompok mereka di Padang Kota Lama dan terus ke Ipoh. Hujan Lebat dan deretan kenderaan yang panjang mengiringi aku hingga ke Hotel Bajet Ipoh.

Esok baru aku akan menemui mak di Kampung Kepayang, kampung dimana aku dibesarkan!


Jumaat, 21 Disember 2012

Syyyyy......


JOM...!

Kekadang bila difikir, meminjam wang dengan bank lebih baik berbanding meminjam dari kawan maupun adik beradik. Alasannya ialah bila sampai masa yang kita janjikan untuk membayar tetapi tidak upaya; bank cuma menghantar peringatan. Kita masih boleh berbincang untuk membuat perjanjian baru. 

Tetpi tidak jika dengan kawan atau adik beradik. Mungkin mereka tidak boleh berbuat apa jika kita masih belum mampu membayarnya Tetapi mau tidak mau pasti ada hati yang terguris. Pasti ada hubungan atau kepercayaan yang renggang. 

Ah, usahkan pada orang luar. Dengan anak sendiri pun bukan mustahil akan terbit rasa kurang senang sesama sendiri. Usah nafikanlah... 

Justeru itu aku menyimpan tekad untuk selesaikan sedaya upaya boleh. Itulah azam aku untuk tahun depan. Dan KPInya ialah 0 (zero) hutang manusia sesama manusia. Biarlah hutang aku dengan bank aje. Itu antara aku dengan Allah saja yang tahu. 

Esok aku akan berkonvoi bersama rakan IKRAM ke Padang Kota Lama. Kemudian akan terus balik kampung bersama ibu_suri. Sudah siap tempah hotel bajet di Ipoh. Heran kan? Tapi itulah kenyataan. Kenyataan yang sebelum ini aku sendiri pun tak pernah terfikir!

Kalaulah mak aku tahu, tentu dia kecil hati. Syyyy......diam....diam...ya!


Khamis, 20 Disember 2012

Bukalah Pintu Hati

Di Pasar Malam Seberang Jaya pada 19/12/12

Aku singgah makan di Restoran Maqbul, Seberang Jaya seusai program kutipan sumbangan GAZA di pasar malam Desa Murni. Itu kutipan terakhir sebelum kemuncaknya di Padang Kota Lama bersama Afdlin Shauki.

Aku pesan roti bakar bersama Penang White Coffee sementara ibu_suri teringin nak makan sup. Sewaktu membayar bil di kaunter, aku disapa oleh seorang gadis yang aku yakin adalah promoter syarikat rokok berkenaan.

"Encik hisap rokok?"

"Tak!" jawapku pendek sambil meletakkan keping-keping wang kertas ke atas meja kaunter.

Setelah mendapatkan bil, aku mengalih pandangan kepada gadis itu dan berkata.;

"Saya tak hisap rokok. Merokok adalah haram!" sambil berlalu tanpa menoleh lagi.

Aku tak biasa berbuat begitu tetapi di dalam hati yang membuak rasa marah melihatkan gadis Melayu kita dengan pakaian yang 'boleh tahan' seperti menggalakkan orang menghisap rokok - sesuatu yang jelas difatwakan sebagai haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan ( sini ) membuat aku bertindak spontan

Sebaik berada di dalam kereta, aku segera teringat Angah, Akmal dan adikku Mamat; juga penghisap rokok yang tegar. Aku dah nasihati mereka malah berkali-kali. Selebihnya, hanya Allah saja yang mampu membuka pintu hati mereka!


Isnin, 17 Disember 2012

Pasar Malam Kampung Surau

Gambar guna kamera talipon murahku

Selepas pasar malam Sabtu di Guar Perahu, aku dan rakan-rakan membuka meja di pasar malam Kampung Surau, Seberang Jaya, semalam. Mulanya aku kesaorangan. Terasa amat segan dan sesekali timbul gusar.

Kemudian rasa seronok bila melihatkan semakin ramai yang ringan tangan menyumbang. Kebanyakannya aku kira adalah pendatang asing yang mungkin bekerja atau belajar di sini. 

Aku juga dapat melihat bermacam jenis orang. Ada lelaki yang bersubang, yang nak kata lelaki tapi tak macam lelaki, perempuan pakai tudung tapi macam tak tutup aurat....hrrrrrr.....

Kali ini aku lebih banyak berdiri saja. Anak perempuan rakanku ini yang aktif mengiklankan tabung sumbangan. Walaupun umurnya belasan tahun tapi begitu gigih. Bertuah mak dan ayahnya memiliki anak gadis seperti dia.

Kutipan malam itu sekitar RM322. Kira memberansangkan juga. Di malam yang sama kempen juga dibuat di mini uptown Perda. Di situ, sumbangannya mencecah RM1500 dalam masa 2 jam.

Kempen sumbangan ini akan berterusan hingga ke kemuncaknya di sini hujung minggu ini. 

Aku tak dapat nak hadiri kesemua aktiviti ini. Hari-hari bekerja, aku tak punya cukup masa untuk ikut serta. Kebajikan ibu_suri perlu di dahulukan. Aku buat sekadar yang termampu. 

Terfikir untuk membuat kempen soloku di tempat kerja esok. Aku percaya, ramai kawan-kawan sekerjaku juga mahu menyumbang. 

Sabtu, 15 Disember 2012

Di Pasar Malam Guar Perahu

Pertama kali menyidai mafla di bahu

Akhirnya aku berpeluang turun sama ke gelanggang. Walaupun bukan ke GAZA sebaliknya sekadar berdiri di tepi jalan sambil menggapai simpati pengunjung pasar malam Guar Perahu agar sudi menghulurkan sumbangan, bukan satu kerja yang biasa bagi aku yang agak pemalu ini. Aku lebih suka pada kerja-kerja  di belakang tirai.

Aku selambakan muka kerana tahu akan ada diantara pelalu-lalang itu yang mungkin jiranku atau kawan-kawanku. Kering tekakku mengeloi pakcik. makcik, adik, kakak dan abang agar singgah. 

Ini hanya kerjabuat ku yang ciput sebagai tanda prihatinku pada nasib rakyat Palestin. Rakan-rakan lainku sebenarnya sudah berbuat lebih jauh dan hebat dari aku. Ada yang sudah menjejakkan kaki ke GAZA dan membantu pembinaan kilang roti dan penternakan di sana atas nama AQSA SYARIF.

Dalam bab-bab macam ni, ibu_suri memberikan lampu hijau. Cumanya, aku kena pandai memujuk beliau. Ganjarannya, malam nanti aku perlu bawa dia jalan-jalan sambil bercerita...

Khamis, 13 Disember 2012

Perlis

Asar di tangga sahaja.

Ingin bercerita sedikit tentang perjalanan aku ke Negeri Perlis bebaru ini. 

Bukan kali pertama aku ke sini, sebenanya. Adik aku - Mamat pernah belajar di UUM, Sintok.  Angah juga belajar di Sekolah Teknik, Kangar. Boleh dikata aku kerap berulang ke sini. Bagi aku, Perlis adalah sebuah negeri yang damai. Makanannya tak jauh beza dengan Pulau Pinang. 

Semasa aku di Arau ( sini ) aku sempat bersembahyang Asar di Masjid Arau. Senyum saja bilamana selesai sembahyang, imam tidak membacakan zikir dan doa seperti biasanya di Pulau Pinang. Makmum, masing-masing berdoa sendirian. Tahulah aku bahawa ini berkemungkinan bekas  pengaruh dari pentadbiran muftinya dulu - Dr MAZA.

Jalan raya tak sesibuk Pulau Pinang. Aku boleh buat pusingan 'u' tanpa perlu menunggu lama. Rakyatnya juga ramah dan baik. Setiap kali aku bertanya tentang arah jalan mereka memberi panduan dengan mesra. Bunyi hon kereta juga jarang kedengaran.

Kalau ikut kata adik aku, harga barangan juga murah. Mungkin sebabnya dekat dengan Thailand, jawapku.

Di Masjid Arau tadi tu, ibu_suri terpaksa bersembahyang di tangga kerana tidak mampu menaiki tingkat 2 yang dikhaskan untuk muslimah. Seorang anak kecil sekitar umur 8 tahun menyapa kami seperti juga dia telah menyapa orang lain di dalam masjid sebelum ini.

"Pak Cik dari mana?" Sambil menghulur tangan bersalam. Gayanya tampak sopan dan dewasa.

"Pulau Pinang!"

"Oooo...."

"Kamu duduk sini?"

"Tak. Saya mai dari Titi Besi." Teringat Jambatan Besi dalam lagu Apo Kono Eh Jang.

"Datang dengan apa?" Tanya ibu_suri. Aku lebih banyak diam.

"Naik geghek.." Hati aku tiba-tiba bagai digeletek. Segera terkenang pada kawan-kawan Kedahku semasa belajar di IKM dulu.

"Abang, nanti kita pi Perlis lagi, nak?" Tiba-tiba semalam ibu_suri menyuarakan keinginan itu, semalam.

"Huisshh... Asyik pi Perlis je. Tempat lain tak ada ke?"

"Habis... I ajak pi Langkawi you tak mau. Ajak pi Kelantan pun you tak mau."

Diam. Tapi di masa yang sama tidak menolak 100% cadangan itu. Cuma teringat mak. Bulan ni aku belum  ziarah dia lagi!

Rabu, 12 Disember 2012

Obsesi

Menanti hujung minggu untuk ke Tasik Mengkuang

Tidak berapa ceria hari ini. Tak tahu kenapa. Kawan-kawan pun perasan dan bertanya. Aku cuma hinggut bahu dan ketawa saja. Yang pastinya bila JH beritahu aku akan program IKRAM untuk membuat kutipan sumbangan GAZA dan edaran risalah ke seluruh pasar malam Seberang Perai Tengah selama seminggu; aku tiba-tiba rasa seperti terpencil. Fikiran aku kosong.

Aku masuk ofis tanpa ada aturcara kerja bertulis seperti yang selalunya aku perbuat setiap awal pagi. Hinggalah menjeang tengahari; tidak ada output kerja yang spesifik telah aku laksanakan.

Selepas makan tengahari, aku menerima panggilan talipon. Suara yang tak biasa aku dengar buat jantung aku berdegup pantas. Dipendekkan cerita; itu panggilan dari pihak penjara;

"Bila boleh kami datang ke rumah encik?"

"Terpulang kepada tuan. Tuan bagi saja tarikh. Saya akan ambil cuti nanti."

"Isteri encik tiada di rumah?"

"Ada tapi dia kurang sihat. Akan ada masaalah untuk berkomunikasi."

Bila balik ke rumah, aku cepat-cepat mandi setelah selesai urus makan malam dan ubat ibu_suri. Aku sembahyang Maghrib dan Isyak sambil sempat membilang biji-biji tasbih. 

Buka laptop juga seperti tiada nafsu untuk membaca apatah lagi menulis. Akhirnya berbaring di sisi hingga terlelap. Jam 12 malam, ibu_suri kejutkan.

"Jom bawa I pi jalan-jalan."

Dengan rasa berat, aku bangun. Ambil kunci kereta dan memandu. Di simpang 3 Kubang Semang, aku nyaris berlanggar secara berdepan dengan Wira kerana aku menyangka lampu hijau sebaliknya masih merah.

Uuuhhhh.... Selepas makan ringan di Sudin Tomyam, aku ajak ibu_suri balik terus ke rumah sahaja. Dalam perjalanan balik itu aku cuba lobi ibu-suri supaya 22hb ini aku dapat bersama dengan aktivis IKRAM berkonvoi ke Padang Kota Lama sebagai acara kemuncak program prihatin GAZA itu.

Namun sebenarnya kenapa aku seperti tiada umpphhh.. hari ini masih juga tidak aku ketahui!

Ahad, 9 Disember 2012

Arau

ibu_suri sedang nyenyak di katil ini  setelah 2 hari tidak boleh tidur

Sekarang ini aku berada di Hotel Brilliant Inn, Arau, Perlis. Aku diamanahkan oleh adik-adikku untuk memberi sokongan moral kepada Duyah ( klik sini ) dan suaminya Zamri yang menghantar anaknya Syada memasuki Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, esok.

Banyak sebabnya kenapa adikku yang seorang ini perlu diberi moral support dalam hal ini. Antaranya kerana dia seorang yang mempunyai inferiority complex yang tinggi di dalam dirinya. Dan kerana aku ini kebetulannya tinggal di Pulau Pinang dan rapat sedikit dengan dia, maka aku menjadi pilihan paling cocok.

Anaknya, Syada juga pada firasat aku akan mewarisi 'rasa rendah diri' dari emaknya ini. Jadi misi aku ini bukan sekadar untuk Duyah malah untuk memastikan Syada akan cekal dan kekal belajar di poli ini sehingga tamat.

Sebenarnya, aku pun dah lama tak bawa ibu_suri menginap di hotel. Saban kali dia  bertanya pada aku bila lagi nak bawa dia jalan-jalan dan menginap di hotel. Oleh itu, kesempatan sambil menyelam minum air ini aku ambil. Dengan katil bersaiz King lengkap dengan tv flat screen  pada harga RM60 satu malam, aku kira cukup ok. Hendaknya pula, hotel ini ubahsuai dari asalnya rumah teres;  ibu_suri tidak perlu menaiki tangga untuk memasuki bilik.

Tapi, sebelum aku menemui hotel ini tadi, pencarian aku tersasar hingga ke pintu masuk imigresen Bukit Kayu Hitam.

"Aikkk.... Macam mana pulak kita boleh sampai ke sini?" terpacul dari mulutku sambil memegang dagu bilamana tiba-tiba ternampak kon-kon UPP mengecilkan saiz jalan raya hingga ke gerbang pintu masuk ke Thailand di hadapan.

"You la..... I mana tau!" sanggah ibu_suri sambil memegang cuping telinga aku!

Sabtu, 8 Disember 2012

Kenapa Ni?


Berkali-kali ibu_suri mengeluh dan adakalanya seperti mahu menangis bila gagal membaca banyak dari bacaan dalam sembahyang. Apa yang dapat aku katakan lagi. Dah ketandusan idea untuk memujuk dan mententeramkan emosinya.

"Agaknya ubat yang I makan tu buat I jadi macam ni..!!!!" bentak ibu_suri merujuk kepada rutin memakan ubat penenang; yang kalau silap cara memujuknya mungkin akan menambah tidak keruan suasana.

"Biasalah, adat kita dah berumur ni. Memang selalu lupa. Tengok abang ni... lupa pulak simpan kunci kereta kat mana..!" ujarku yang memang sedari tadi meninjau-ninjau kunci kereta. Arrghhh... memang ketara pelupa nya aku mutakhir ini.

Cadangan ibu_suri supaya membeli buku rujukan cara mengerjakan sembahyang mahu tidak mahu terpaksa aku layani. Memang pun, ianya satu usaha yang baik supaya ibu_suri dapat belajar semula bacaan-bacaan asas dalam sembahyang yang sudah hilang dari ingatannya akibat kerosakan banyak dari saraf-saraf otak dek serangan strokenya dulu. 

Doktor sendiri semasa membawa keluar ibu_suri dari Bukit Mertajam Specialist Center dulu beriya-iya menyuruh aku selalu berkomunikasi dengan ibu_suri dan mengajarnya perkataan-perkataan yang dia sudah lupa, berulang-ulang.

"Dia sudah jadi macam budak tadika. You kena sabar ajar dia untuk ingat semula perkataan yang dia sudah lupa."

Aku singgah di Hasani Book Store, Carrefour Aku memang suka datang sini melihat buku dan CD. Untuk ibu_suri, aku perlu carikan buku rujukan sembahyang itu yang juga mengandungi bacaan ayat Quran dalam bentuk roman bagi memudahkan dia mengeja dan membaca.

Rabu, 5 Disember 2012

Foto Klasik

Aku terasa beruntung kerana berkesempatan memiliki foto-foto ini yang aku anggap klasik. Teknik super impose zaman Sains dan Teknologi ini sesekali bila menatapnya buat aku senyum sendirian. Foto ini diambil oleh jurufoto swasta yang memang sedia ada di sana.

bersama kawan praktikal USM


bersama adik yang datang ziarah

Keretapi yang aku naik ke Bukit Bendera adalah keretapi warna merah yang juga klasik dan mendamaikan.

Waktu ini  aku baru saja bekerja di Pulau Pinang dan masih belum ramai kawan apatah lagi girlfriend.

Baru merasa membeli kemeja T logo Schwarzenbach dengan gaji sendiri. 

Selasa, 4 Disember 2012

Dari Kanan Ke Kiri


Akhirnya aku berjaya memiliki jam yang istimewa ini, jenama HIJRAH. Pautan FBnya di sini. Atas usaha ikhlas kawanku Farid R membuat pesanan pos dengan harga diskaun RM80.

Mulanya agak janggal juga bila dah dilekapkan di dinding secara senyap-senyap tanpa siapa pun mengetahui.   Ayu yang baru balik dari kerja terpinga-pinga bila hendak melihat waktu terkini. Cuba kalian teka, jam itu menunjukkan ke pukul berapa sekarang?

Nama umumnya jam Tawaf. Pergerakan jarumnya mengikut konsep tawaf di Kaabah. Mutakhir ini aku banyak membaca tentang hebatnya gerak kerja kaum Yahudi dalam menjauhkan budaya hidup orang-orang Islam dari amalan agama yang sebenar. Antaranya yang aku perasan pusingan dalam sesuatu aktiviti kita yang septutnya bermula dari kanan ke kiri;

1. Mengacau air minuman dari kiri ke kanan.
2. Makan buah selepas makan utama. Sebaiknya sebelum seperti sunnah berbuka puasa.
3. Minum susu lembu. Minuman terbaik selepas susu ibu adalah susu kambing.
4. Makan daging kambing menyebabkan tekanan darah tinggi.
5. Stereng kereta di sebelah kanan ( masuk kereta dengan kaki kiri ).

Sebenarnya dalam Islam, aktiviti pusingan sepatut mengikut fitrah alam yang menyamai pusingan tawaf di Kaabah yakni dari kanan ke kiri. Baca pautan di sini untuk melihat kehebatan aktiviti hidup yang dicipta Tuhan mengikut hukum alam.

Alhamdulillah, buat masa ini aku sudah biasa dengan kebiasaan mangacau minuman dari kanan ke kiri. Sedikit demi sedikit aku beri kefahaman pada ibu_suri sebenarnya memakan daging kambing tidaklah bahaya untuk dia yang menghidap hipertensi.

Dan sekarang ini aku sedang mengintai peluang untuk memiliki jam tangan tawaf dan berhasrat memakainya pada pergelangan tangan kanan; bukan tangan kiri seperti kebiasaan sebelum ini. Tidakkah perbuatan yang baik itu sepatutnya bermula dengan yang kanan?

Sebenarnya aku memang dah lama tidak memakai jam tangan. Tidak tahu kenapa!

Isnin, 3 Disember 2012

Doa di Dalam Sujud

Mentelaah buku Fadhilat Amal karya Maulana Zakariyya.

Senangnya aku dengan geng surau tempat kerja ialah kerana persefahaman yang luhur. Walaupun aku tidaklah sebagus mana tapi mereka tetap mahu aku menjadi pengerusi surau walaupun secara tak resmi. Makanya, apa-apa saja maklumbalas dan keperluan surau, aku dipertanggungjawapkan untuk kehadapan.

Aku mengambil sikap yang ringkas sahaja. Apa yang baik demi kemajuan surau dan kebaikan warganya, aku sokong dan galakkan. 

Mengadakan majlis Taalim selepas solat Isyak sekarang ini seperti satu kemestian. Idea asalnya dari sahabat tabligh; dibawa berbincang melalui emel sesama kami. Akhirnya, aku memberikan lampu hijau setelah bersetuju bahawa ianya diadakan selepas solat Asar sahaja tanpa mengganggu jamaah lain yang bersolat.

Aku cukup hormati dengan sahabat Tabligh ini yang begitu gigih menyampaikan risalah Nabi. Jika ada apa-apa yang tidak kena dengan kami mereka menegur dengan baik.

Aku pernah ditegur tentang cara membaca doa selepas selesai sembahyang;

"Sebaiknya hang angkat takbir dulu, baru sujud dan baca doa semasa sujud. Lepas itu bagi salam kiri dan kanan."

Osman M yang menegur kesilapan aku itu rupanya memerhati gelagatku selama ini. 

Aku kerapkali berdoa di dalam sujud tatkala jiwa dilanda tekanan dengan permasaalahan. Pada aku, bercakap-cakap dengan Tuhan semasa sujud terasa lebih dekat dan jujur.

Adakalanya aku berbaring dan memejamkan mata buat beberapa minit selepas itu!

Ahad, 2 Disember 2012

Kampung Poh


"Abang ambil gambar apa tu?" Tanya ibu_suri.

"Papantanda UMNO!" Jawapku.

Huu... Uuuuhhh.... Getus ibu_suri. Tajam muncungnya.

Bukan orang lain juga, destinasi kenduri kahwin yang aku nak pergi ini. Allahyarham bapa saudara ibu_suri yang dulunya kerja sebagai mandor di Ladang Teh Boh, Cameron Hihgland. Kalau kami nak pergi ke Cameron, kami akan tidur di rumahnya yang berwarna hijau terletak di tepi lereng bukit yang dikelilingi pokok teh. Damai kan?

Di rumah kenduri, orang sudah ramai. Kenduri kat Perak ni kalau datang lewat dari pukul 3 petang, alamat jumpa pengantin dah pakai kain pelikat la. Tak macam di Penang, pukul 4 masih boleh makan nasi minyak lagi.

Nasi minyaknya memang sedap. Ada gulai daging + kentang dan paling aku suka - gulai lemak pisang muda. Terangkat!

DJ pula tak henti-henti mainkan lagu diselangseli dengan mengalu-alukan kedatangan tetamu. Tentu saja nama-nama besar yang disebut. 

"Di maklumkan kedatangan Ketua Puteri kita..." Dan aku tersenyum faham.

"Dipersilakan Bendahari Bahagian kita." Boleh tahan juga tetamu majlis bapa saudara ibu_suri ni.

Tatkala mak Cik Zah, isteri kepada bapa saudara ibu_suri bertanya pasal abah mertua yang masih belum sampai, kami cuma berkata - tak tahu. 

Aku segera menalipon Yati, adik iparku.

"Ada di mana?"

"Masih di Kampung Batu 3. Abah baru nak bersiap!"

Aku merenung jam yang sudah pun ke pukul 2.30 petang. Pakailah orang tua aku ni... lambat sampai. Adik beradiknya tak henti bertanya. Maklumlah, kenduri macam nilah baru ada kesempatan berjumpa dengan keluarga jauh  
dekat!

Sabtu, 1 Disember 2012

Gelama Masin


Tak dapat aku pergi riadah hari ini. Malas aku nak 'bertekak' dengan ibu_suri yang mahu aku duduk saja di rumah. Mulanya aku nak tidur saja hingga tengahari tanda protes. Tapi bila difikir balik, buat apa bersikap macam budak-budak. Lebih elok kalau aku mengambil sikap berlapang dada. Lagipun aku memang tak biasa tidur meninggi hari.

Lantas aku pergi mandi dan dirikan Dhuha. Aku sediakan sebaik-baiknya makan pagi dan ubat untuk ibu_suri.

"Hari ini kita makan ikan gelama masin, nak? Kita beli gulai dan sayur saja sekejap lagi."

Memang dah berkali-kali ibu_suri menyuarakan keinginanya makan goreng ikan masin. Cuma aku saja yang melengahkan sebab nak jaga kesihatan dia sendiri. 

Aku selalu kena gerutu dan kekadang terpacul perkataan 'kedekut' dari mulut ibu_suri bilamana aku melarang atau enggan membelikan makanan atau minuman tertentu demi menjaga kesihatannya. Aku terima saja dengan terbuka getusnya itu. Aku tahu, dia begitu adalah di luar dari kewarasannya yang separa normal. 

Terus terang aku katakan; bukan mudah menjaga insan yang mempunyai sejarah 'psikiatrik' ini. Alang-alang sabar boleh berantakan rumahtangga. Justeru itu janganlah pandang serong pada orang yang kita nampak seperti tidak siuman. Atau beriya mengganggu orang yang kuat latahnya. Itu giliran dia... giliran kita bukan mustahil akan tiba esok atau bila-bila pun! 

Untuk mengurangkan kemasinan ikan gelama itu, aku basuh seadanya. Tidak lupa untuk aku buang tahinya yang sepertimana kita tahu memang diperam bersekali oleh sipembuat.