Aku melawat Akhmal, hari ini. Kali ini lawatan cuma boleh dihadiri oleh 3 orang saja. Selain ibu_suri aku bawa bersama anak saudaraku - Ema.
Lawatan kali ini adalah lawatan istimewa. Lawatan sempena meraikan Hari IbuBapa. Jalinan Kasih, kata mereka.
Kami dibawa masuk melalui pintu besar. Selepas semuanya masuk, pintu besar dikunci. Mangganya, nala punya besaq. Suasana agak gelap. Kami diperiksa menggunakan alat pengesan logam. Aku yang dah biasa di periksa oleh guard sebegini sebelum masuk ke lokasi kerja tidak seperti sesetengah ibubapa yang kelihatan canggung.
Bila pintu ke 2 dibuka dan kemudian melangkah masuk ke pintu ke 3, tiba-tiba bulu roma aku tegak berdiri. Aku membaca beberapa potong ayat Quran. Sergam di depan adalah khemah serta kerusi. Keliling adalah pagar dengan kawat bergulung di atasnya. Di sebelah pagar itu ada bilik-bilik berjeriji. Di sebelah kanannya tertulis ''insaf'. Di sebelah kirinya..... tak pasti kerana papantanda terlindung oleh tiang-tiang. Tapak tempat aku berdiri ini aku percaya adalah tempat mereka berhimpun, berkawad ataupun beraktiviti.
Akhmal dah sedia menunggu bersama rakan-rakan lain. Dia memakai sut merah. Mukanya agak berisi. Ada antara ibu yang memeluk anak mereka termasuk ibu_suri. Aku cuba buat bersahaja. Berjabat tangan lalu bertanya khabar.
Majlis bermula seperti lazimnya majlis yang dirasmikan oleh Pengarah. Kemudian agenda ramah mesra para pegawai dengan ibubapa dengan memberi goodies sambil diiringi oleh lagu nyanyian dari kalangan mereka secara minus one.
Memang ada antara ibubapa yang tidak dapat menahan takungan airmata bila diberi peluang berbual secara lansung dengan anak mereka. Ada antara mereka yang baru saja menjalani hukuman 10 rotan bila melihatkan cara jalannya yang mengengkang. Ada yang terpaksa merengkok hingga 2020 kerana kes samun menggunakan parang. Malah ada yang baru sekali 2 terlibat dengan kes curi motor tapi tidak bernasib baik diberkas polis.
"Dia tu rajin mengaji Quran dan sembahyang. Dulu dia belajar pondok. Abang dia pun pernah jenis keluar masuk juga." terang Akhmal yang di sini juga dikenali dengan gelaran Apek seperti juga gelarannya di kalangan kawan-kawan di rumah.
Puas juga selama 3 jam bersama Akhmal. Majlis yang hanya terbatas dengan makan dan berbual sahaja ini sudah cukup meyakinkan aku bahawa layanan mereka kepada Akhmal boleh aku kira baik.
Jam 11 majlis selesai. Aku memeluk Akhmal erat-erat sambil berbisik:
"Ayah hanya mengharapkan kamu menjadi manusia baik. Itu sudah cukup bagi ayah. Nanti, binalah hidup baru. Yang penting ialah bukan apa yang ada di luar tetapi ialah apa yang ada di dalam diri kamu. Jika kamu mahu berubah,insyaAllah... ayah akan bantu kamu."
Sebenarnya.... aku sendiri pun hampir tidak dapat menahan takungan airmata dari tertumpah. Sepertimana dulu juga; tatkala aku memandikan abah aku buat kali terakhir dulu...