Halaman

Ahad, 31 Mei 2015

Tanggungjawap


Aku cuma nak kongsi satu video yang aku terima melalui wassup jer.

Ntah kenapa, mutakhir ini aku amat sensitif terhadap sikap anak yang abaikan tanggungjawapnya menjaga mak dan abah.

Hal itu berlaku di hadapan aku sendiri. Anak lelaki lansung tak ambil kisah. Anak perempuan yang menjaga pula, agak kasar sikapnya.

Semua ini buatkan aku terkenang mak aku sendiri di kampung.

Aku harap, aku dan adik-adik aku tidak tercampak ke dalam golongan anak-anak yang derhaka.

Sabtu, 30 Mei 2015

Waktu Yang Masih Segar


Aku dah semakin boleh mengadaptasi penulisan blog menggunakan talipon pintar. Walau ianya perlahan dan tidak benar-benar rasa puas namun tiada rotan, akar pun berguna.

Aku menulis dari dalam kereta sambil dengar lagu-lagu puisi alunan Ahmad Ramli. Aku memang meminati lagu-lagu puisi dari remaja lagi. Aku beli album ini sekitar tahun 1997.


Kat sini macam yang aku tulis sebelum ini, ramainya adalah kaum Cina.  Aku kagum melihat warga tua mereka yang agak ramai tapi masih sihat melihatkan gaya jalan dan percakapan. Mereka begitu mesra. Ada yang menyapu jalan dan ada juga yang menyiram anak-anak pokok hutan yang dalam semaian.

Alangkah beruntungnya jika aku juga seperti mereka. Seperti aku hari ini yang masih sihat, tak perlu lagi susah-susah kerja sebaliknya menikmati waktu yang masih segar ini dengan sesuatu yang bermanafaat.

Tetiba saja aku merasakan aku jangan persiakan waktu aku ini. Aku mesti hargai masa yang masih ada ini dengan ibadah, menjaga mak dan abah, hargai kawan-kawan, berfikiran positif, selalu senyum pada dunia, guna wang ke jalan sebaiknya dan reda dengan harta yang ada. Usah buru harta dunia berlebihan.

Jangan kedekut dengan wang yang ada jika untuk selalu balik kampung jenguk mak dan gembirakan hatinya.

Tuhan... turunkan hidayahMu ke hatiku yang masih gersang ini!

Mertuaku


Itu wajah terkini mertua aku. Beliau disahkan menghidap minor stroke. Sukar bercakap dan terpaksa berkerusi roda.

Dalam pada begitu pun tadi dia dibawa oleh anak dan cucunya ke Johor menaiki bas. Jemputan kenduri walimah saudara belah abah.

Aku ambil sikap 'no komen' dalam hal ini. Abah pula demam. Begitu hangat tubuhnya tatkala aku papah menaiki tangga bas.

Aku diminta membacakan sedikit doa sebelum mereka memulakan perjalanan. Aku buatlah sekadar yang aku tahu demi meraikan hasrat mereka walaupun sebenarnya aku tidaklah searif mana.

Aku tahu, abah dan mak berasa berat untuk ke perjalanan jauh. Mereka perlu rehat yang sebaiknya di rumah tapi kerana tidak mahu mengecewakan kehendak anak dan cucunya, mereka kuatkan diri.

Aku harap mereka selamat dalam pergi dan balik.

Bagi aku, ini kesempatan terbaik untuk terus beri komitmen menjaga mereka kerana aku tahu masa mereka semakin singkat.  Bermakna, peluang aku untuk membalas jasa mereka selama ini terhadap kami juga pendek.

Rabu, 27 Mei 2015

offline

Laptop aku rosak. So, mungkin akan tidak menulis utk sementRa ini.


Ahad, 24 Mei 2015

Bermandi Peluh


Hari ini aku riadah di Bukit DO. Ramainya orang. Mungkin kerana cuti hujung minggu agaknya.

Masa aku keluar tadi, ibu_suri masih tidur. Jadi, dapatlah aku santai sekejap melapangkan pemikiran sambil keluarkan peluh di sini.

Sini teduh berbanding di Kompleks MPSP. Pokok hijau menyejukkan pandangan. Sayangnya, kat sini ramai kaum Cina. Agaknya, pagi ini aku sorang aje bangsa Melayu.

Namun aku kagum dengan komuniti Cina ini. Walaupun tempat ini adalah tempat awam namun ada saja aku lihat individu yang rajin menyapu daun-daun kayu yang melatari jalan. Aku percaya ianya dibuat secara sukarela. Bersilih ganti mereka menyapu. Aku sempat mengucap terima kaasih kepada salah seorang dari mereka tatkala tercembung. Senyum mereka memandang wajah aku. Senyum yang manis tanda keikhlasan.

Ada juga yang ambil kesempatan menjual buah-buahan. Sebelum ini aku ada melihat mereka menjual barangan kesihatan. 

Golongan warga emas akan duduk di pondok rehat sambil berbual sesama sendiri. Aku yang dah lama bergaul dengan bangsa Cina semasa bekerja dulu tahu jugalah sesikit apa yang mereka perbualkan dalam bahasa Hokkien.

Selain dari teduh, trek yang berbukit juga buatkan aku cepat berpeluh. hari ini aku tak memilih trek bertangga sebab lutut terasa tidak kuat untuk mendaki apatah lagi jika meneruni tangga. Aku lebih selesa mendaki gon.

Selepas penat riadah aku dudk sekejap di kerusi berdekatan bilik air. Beberapa ekor anjing datang ke arah aku. Aku cuba bersikap positif terhadap kedatangan anjing ini.

"Maaflah, aku tak ada makanan nak bagi kamu makan. carilah tempat lain."

Duduk sekejap anjing itu memandang aku. Kemudian dia berpatah semula kepada kelompoknya. Datang pula yang lain. Aku bercakap perkara yang sama. Bagi aku, anjing adalah makhlok Tuhan juga.

Apapun, riadah hari ini memang best. Balik dari riadah aku sambung pula dengan menyapu sampah depan rumah serta mencuci longkang yang dipenuhi rumput. 

Pendekkata, aku bermandi peluhlah hari ini. Walaupun aku tahu ibu_suri pasti akan 'marah' kerana tidak membawa dia bersama tadi, sabar dan diam ajelah.... 

Sabtu, 23 Mei 2015

Orang-Orang Terkucil


Aku memang peminat tegar Ebiet G Ade. Menggilai lagu-lagu puisinya semenjak belajar di Institut Kemahiran MARA, Kuala Lumpur sekitar tahun 1981. Pelatih dari Sabah dan Serawak selalu memutarkan keset lagu-lagu Ebiet lepas balik kuliah.

Semalam aku terima pesanan cd Ebiet melalui pos. Wah, bukan kepalang gembiranya aku; terus buka dan memutarkannya di pemain cakera kereta. Sambil bernyanyi, sambil memandu menghala ke rumah mertuaku. Lupa sekejap lelah dan semak di kepala.

Itu saja catatanku hari ini. Jom dengar salah satu dari lagu Ebiet  kat sini .....

Khamis, 21 Mei 2015

Tanggungjawab


Dari semalam ibu_suri tak renti-renti mengajak aku ke rumah mertua untuk menghantar rendang tok yang telah aku beli di RnR Gunung Semanggul 2 hari lepas. Beriya-iya mak meminta kami membeli kerana teringin. Sebelum itu dia inginkan kuih dangai, tapi masih tidak tertunai hasratnya itu.

Aku beritahu ibu_suri bahawa jika seseorang itu; apatah lagi ianya ibubapa kita sendiri... teringinkan sesuatu, elok segera kita tunaikan. Pertama - kita adalah anak yang istimewa dipilih oleh mak untuk membelikan sesuatu yang dia inginkan. Kedua - kita tidak tahu, mungkin inilah peluang terakhir kita dapat menyenangkan hati ibubapa kita.

Bapa mertua pula sering menyatakan harapannya supaya aku carikan Gel Amani yang dikatakan mujarab untuk meredakan sakit lutut. Susahnya nak dapatkan gel ini, rupanya. Tidak dijual di sebarang kedai. Jenuh bertanya di farmasi mahupun Watson. Akhirnya, aku hubungi pengedar Gel Amani itu sendiri melalui facebook... ada di Kompleks Bukit Jambul, katanya. 

Mungkin, kalau benar ianya baik untuk sakit lutut bapa mertuaku, aku ingin gunakan juga kepada ibu_suri. Mutakhir ini ibu_suri selalu mengadu sakit lutut yang teramat bila berjalan jauh sikit. Aku tahu, antara punca sebenar ialah berat badannya yang semakin menaik tetapi sebagai jangka pendek, penggunaan ubat luaran mungkin membantu.

Aku percaya, berbuat baik kepada orang tua dan isteri amat dihargai oleh Allah. Walaupun kekadang wujud juga sungutan dan jemu di dalam hati namun aku cuba tepiskan. Ya... bukan mudah bagi seseorang yang terpaksa melalui tanggungjawap memikul beban seperti ini untuk bertahun-tahun.

Tak semudah mereka yang menyatakannya melalui selfi dan kemudiannya memuatnaik di facebook lalu berkongsi dengan friends tentang rasa simpati lalu minta didoakan dan memanjangkan perkongsian...

Isnin, 18 Mei 2015

Sakit Kepala


Sejak pagi aku sakit kepala. Mungkin agaknya disebabkan dua tiga hari ini aku tidur lewat.

Jam 11 pagi, aku dah berada di rumah jiran yang menjemput untuk majlis kenduri doa selamat. Dulu, aku cukup segan nak pergi awal. Tunggu jiran-jiran yang aku biasa berbual sampai di sana dahulu, barulah aku berjalan pergi. Namun sekarang sebaliknya. Aku lebih suka pergi awal dan menunggu orang lain datang.

Ramai yang datang. Kebanyakannya geng masjid. Tuan rumah pun memang kaki masjid. Aku pula semenjak tak bekerja ini, kerap ke masjid membuatkan tidak ada rasa canggung bergaul dengan mereka. Malah terasa begitu mesra dan punyai kebersamaan. Seronokkan kalau punyai masyarakat yang saling hormat menghormati dan ramah mesra walaupun ada antaranya berbeza ideologi politik. Permatang Pauh.... tau ajelah... memang panass....

Aku sebolehnya mahu selalu bersembahyang di masjid. Tapi selalu jugalah ibu_suri merengek minta aku sembahyang saja di rumah. Ujarku, lelaki dituntut untuk selalu ke masjid sedangkan perempuan lebih baik sembahyang di rumah. Kekadang, bila malas nak berdebat, aku ajak dia pergi sama. Dia akan bersembahyang di dalam kereta sementara aku masuk ke dalam berjamaah.

Emosi ibu_suri yang tak menentu memang susah nak di layan jika tidak ada cukup pengalaman saikologi, kekuatan kesabaran dan kebijaksanaan memberi alasan. Bukan sahaja ke masjid;  ke usrah, ke ceramah agama malah kekadang nak balik kampung tengok mak pun, boleh kecil hati dibuatnya jika kita tak kawal diri dan turut beremosional dan melatah tak tentu hala dengan kerenah ibu_suri. Siapa yang tak kecil hati kalau mak dan adik beradik kita dikata dengan bermacam-macam apatah lagi oleh pasangan hidup kita sendiri, kan!

Tapi itulah hakikatnya. Hakikat yang kekadang buat aku rasa lelah, letih dan jauh hati. Yang kekadang buat aku tidur seharian atau mencuri kesempatan keluar memandu sendirian menagih ketenteraman diri di waktu tengahmalam, bilamana ibu_suri tidur lena di bilik.

Sampai bila kesabaran ini bertahan dan sampai bila keadaan ini berlarutan, Tuhan sahaja yang mengetahui. Itu tidak lagi dicampur dengan perangai Akhmal yang aku rasa seperti pasir di gurun yang tak akan basah walaupun ditimpa hujan....

Sabtu, 16 Mei 2015

Sahabat Akrab


Tadi pagi aku sempat berjumpa dengan sahabat akrab semasa belajar di Institut kemahiran MARA, Kuala Lumpur tahun '81~'82 di Hotel Pearl View, Perai. Dia datang dari Melaka ke sini atas urusan kerja.

Tentu saja seronok berbual kisah-kisah lama. Kisah semasa mengintai anak dara tuan rumah sewa semasa mandi, kisah memasak kat dapur untuk makan tengahari, kisah beli komponen elektronik di Jalan Pasar, Kuala Lumpur dan berbagai lagi.

Dah 30 tahun lebih tak berjumpa. Sekarang dia dah punyai anak belasan orang. Huu... jauh beza dengan jumlah anak aku. Kerjanya juga agak lain dari yang lain.... membuat pemeriksaan air kencing kepada krew kapal yang berlabuh di Malaysia... Menarik kan!

Sahabat aku ini - Abdul Aziz - punyalah akrab dengan aku hinggakan aku selalu tidur di katilnya semasa masih menginap di hostel. Aku selalu pergi ke rumahnya di Bandar Melaka. Kenal dengan keluarganya. Kenal dengan makwenya masa itu. Sayangnya, bercinta bagai nak rak dengan orang lain, aleh-aleh bila aku dapat kad jemputan kahwin, nama bakal isterinya yang tertulis ialah nama orang lain. Hot juga aku masa tu.... 

Apapun, itu dulu. Kini kami dah menginjak usia retro. Kami bertemu dalam suasana ketawa dan nostalgia.

Dia sendiri pun kagum bila tahu apa yang aku lalui sekarang ini. Ujarnya, isteri aku bertuah kerana memiliki aku yang kental dan setia menjaganya. Hu....hu...

Jumaat, 15 Mei 2015

Isteriku


Sebenarnya, bagaimana aku boleh terfikir untuk khususkan sebahagaian dari duit KWSP aku yang dilabur ke Public Mutual seperti tulisku sebelum ini ialah mengambil contoh birasku. Dia mencapai umur 55 awal 2 tahun dari aku. Bila melihatkan duit 55nya semakin susut segera dia ke Tabung Haji dan menyimpan sebahagaian duit ke dalam akaun isterinya yakni kakak kepada ibu_suri.

Melihat kepada sikapnya yang bagi aku jauh di depan, aku juga ingin mencontohinya. 

Mungkin dulu-dulu berbanding sekarang sikap halus aku terhadap ibu_suri tidak sekasih atau seprihatin seperti sekarang. Sikap atau minat kami banyaknya tak sama. Aku suka warna kosong dan gelap sedangkan ibu_suri suka warna warni dan ceria. Aku tak suka masakan asam pedas tapi itulah yang dia suka masak untuk keluarga. Aku tak suka rumah di perbesarkan tapi itulah yang dia mahukan. Aku tidak pandai diplomasi dalam menyatakan tidak suka itu.

Berlainan dengan sekarang, aku lebih kasih dan berbuat sesuatu selalu menimbang perasaan dia terlebih dahulu. Dan jika sesuatu yang ingin aku perbuat itu akan kontra dengan mahunya dia, aku akan guna helah paling halus untuk mendapatkannya. 

Benar juga tajuk satu artikel di akhbar yang pernah aku terbaca:

'Mengasihi pasangan hidup hanya ketika bila telah jatuh sakit'

Apapun sebenarnya, ini semua berlaku bila usia aku menganjak tua. Bila anak-anak sudah besar dan tidak lagi boleh dijadikan kawan sepermainan.

Masa ini yang ada dan selalu menemaniku adalah ibu_suri. Walau kekadang rasa marah, rasa kecil hati dan rasa bosan dengan sikap dia tapi jauh dalam hati aku tahu tanpa dia aku mungkin akan terasa sunyi. Dia sahaja yang tahu sikap buruk dan baik, rahsia luar dan dalam diriku.

Muga Allah tetapkan apa yang pernah aku sematkan di hatiku dari dulu bahawa:

'Isteriku akan hanya satu. Itu yang pertama dan itulah yang terakhir...'

Khamis, 14 Mei 2015

PM



Sebenarnya, dari akaun 1 KWSP, aku juga ada keluarkan sedikit untuk di labur ke Public Mutual. Ini semua gara-gara rekomen dari kawan sekerja akulah yang juga ejen PM. Aku ni bukan pandai sangat bab saham menyaham ni. jadi aku percaya kat dia saja.

Semalam, aku belek-belek lapuran tahunan yang dikirim oleh PM kepada aku. Huh... boleh tahan juga jumlah keseluruhan modal campur keuntungan. Ura-ura aku nak jual semula saham aku untuk dapatkan tunai dan disekalikan dengan keluaran KWSP yang aku ada, berasa sayang pula.

Sesekali fikir, elok kalau pelaburan yang ada di PM itu aku biarkan berkembang. Itu aku khaskan untuk ibu_suri, mana tau kot kot aku ditakdirkan tak ada nanti setidak-tidaknya ada juga bekalan aku tinggalkan untuk saraan ibu_suri.

Mujur juga aku ikut saranan dari rakan sekerjaku itu supaya melabur. Duit aku di PM itu aku dapati berkembang lebih pesat berbanding dengan simpanan di KWSP.

Pun... bila direnung jauh-jauh, terasa duit ini seumpama kekabu di hujung julai. Senang berterbangan bila ditiup angin.

Rabu, 13 Mei 2015

12 May...


Maka ramailah yang beri ucapan tahniah sempena hari lahir aku. Kawan-kawan facebook, kawan-kawan wassup.. tapi anak-anak aku? Arghhh... aku tak kisah pun. Malah tak minat nak ambil pusing. Cuma ibu_suri saja yang beriya-iya nak buat makan-makan. Kalau tak ibu_suri yang pot pet, aku pun tak ingat. Sejak tak kerja ini... hari-hari aku rasa sama.

"Aikk... You punya HJ, abang yang belanja makan; anak-anak punya HJ... abang juga. Cucu punya HJ pun abang juga. HJ abang, abang juga belanja makan kau orang. Errr... tak payahlah.  Abang dah tak kerja..."

Yang tak bestnya; yang kekadang menyinggung sedikit perasaan halus aku ialah, mentang-mentang ini HJ aku ke 55 yang mereka sibuk tanya ialah duit KWSP aku. Ada yang tanya tak buat kenduri ke?

Angah pun tersengih-sengih cakap pada aku... wah, ayah jadi OKB. Tak ketinggalan juga yang on the dot wassup kat aku supaya jika nak bayar zakat, harap bayar ke sekian....sekian...tempat. 

Aku pun tak tahu, kenapalah sekarang ini cepat sangat aku ini jadi perasa. Mereka mungkin sebenarnya bergurau saja atau ikhlas mencadang. Akan tetapi hati kecil aku tak mampu menipu bahawa aku rasa sedikit tersinggung dengan perkembangan ini. 

Kenapa warga 55 mesti dijenamakan sebagai OKB sebaliknya tidak OKS...?

Mereka sebenarnya tidak dapat menyelami perasaanku yang sebenarnya teramat risau dengan masa depanku. Tak kiralah samada umur aku masih panjang atau mungkin tak lama lagi. 55.... memang dah dekat sangat dengan noktah kehidupan.

Apapun, aku harap bahagian duit 55 aku itu ada di simpananku. Janganlah tiba-tiba KWSP kata duit dah tak ada....

Aku pun tengah dok timbang nak bawa keluar semua segala simpanan aku dalam TH atau dak nih! Dulu aku percaya simpan duit dengan kerajaan akan selamat. Tapi sekarang ni... aku mula fikir, simpan kat swasta kekadang lebih amanah!

Ahad, 10 Mei 2015

Mak


Aku dan adik-adik yang berada jauh dari mak telah membuat satu pakatan supaya bergilir-gilir balik ke kampung menjaga mak setiap minggu. 

Sebaik sahaja abah meninggal pada 2008 (tak lama selepas ibu_suri di serang stroke sekaligus bi-polar disorder), aku mengadakan mesyuarat dengan seluruh mereka berkenaan siapa yang akan menjaga mak. Mulanya, adik ipar menyatakan kesanggupan tetapi aku menyatakan sebaik-baik orang yang menjaga mak biarlah anak perempuannya sendiri.

Adikku yang ke6 - Duyah telah menyatakan kesanggupannya berhenti kerja menjaga mak. Aku pun merasakan memang dialah yang terbaik kerana dia paling dekat dengan rumah mak dan masih muda ketika itu.

Hinggalah ke hari ini, Duyah.. walaupun dengan segala permasalahan dan kepayahan hidup, tetap setia menjaga segala kebajikan mak.

Masuk hari ini sudah 7 tahun. Tempoh 7 tahun... bukan waktu yang singkat dan mudah untuk seseorang menjaga insan yang di serang stroke, lumpuh sebelah badan yang tentunya dipenuhi dengan pelbagai emosi yang berubah-ubah.

Kekadang menangis Duyah mengadu kepada aku, kekadang ketawa dia bila melihat mak gembira.

Aku selalu rasa malu sebab sepatutnya tanggungjawap besar menjaga mak ialah anak lelaki. Anak lelaki yang paling tua dan paling lama dijaga oleh mak ialah aku sedangkan aku nak balik sebulan sekali menjenguk mak pun amat payah...

Apapun, hakikatnya hari ini mak masih ada dan aku masih belum terlalu lewat untuk menggembirakan hati mak. Aku tahu, mak tidak perlukan kek yang dipotong saban tahun sebaliknya mendambakan anak disampingnya setiap hari.

Minggu depan giliran aku pula untuk balik kampung menjaga mak. Walaupun sebenarnya, bersama dengan ibu_suri ini sedikit payah untuk 100% aku berada di sisi dan mengguliti mak, aku tetap akan cuba juga membuat mak ceria dengan senyuman aku yang walaupun sekadar senyuman paksa.

Mak tentu lebih tahu senyjman aku itu manis atau sebaliknya...

Jumaat, 8 Mei 2015

Bila Kita Ikhlas


Kekadang, bila rasa jauh hati dengan sikap Akhmal di rumah, aku bawa diri keluar jalan-jalan dengan ibu_suri.

Hari ini juga sama. Jumaat adalah rutin aku ke rumah mertua untuk bawa dia ke Masjid At Taqwa, Taman Saadon, sembahyang Jumaat disana. Aku keluar awal hari ini. Aku nak tenang-tenangkan hati keluar dari semak di dada melihatkan sikap Akhmal yang masih tak berubah.

Melayan kerenah orang tua macam abah bukan mudah. Ianya memerlukan kesabaran dan memahami kesulitannya dan mahunya. Pengalaman aku menjaga ibu_suri selama 6 tahun banyak membantu aku. Sikap abah dan ibu_suri sama saja... keras hati.

Yang sadisnya tu, aku cuma menantu dia sahaja sedangkan abah mempunyai 9 anak lelaki dan perempuan. Kemana dan kenapa tidak mereka? Aku... no comment!

Aku dah dapat rasakan bahawa Tuhan bayar tunai kepada aku atas apa yang telah aku perbuat semasa aku masih di bawah jagaan mak dan abah dulu. Sikap-sikap 'negatif' aku terhadap mak abah kini aku rasakan pula oleh sikap anak-anakku. Aku terpaksa terima kenyataan ini. Tidak boleh nak berpatah balik mengkoreksi semua, sebaliknya aku memandang ke hadapan dengan positif dan menebus kekhilafan lalu dengan berbakti kepada mertua; jika boleh dengan segala keikhlasan.

Mudah-mudahan, benarlah kata Ebit G Ade di sini.... Bila kita ikhlas akan tumbuh rasa damai. Dari rasa damai akan lahir rasa bahagia...

Rabu, 6 Mei 2015

Kalendar Telah Dicarik


Tak perasan aku rupanya dah 3 hari tak menulis. Tak mungkin sebab tak ada idea. Mungkin sebab suasana di rumah yang tidak meransang.

Memang, aku tidak dapat merasakan bagaimana rumah itu adalah syurgaku. Dari dulu lagi. Sebaliknya aku lebih merasakan selesa berada di dalam kereta. Justeru itu aku selalu memastikan kereta aku dalam keadaan baik dan bersih. Bagi aku, kereta adalah rumah nombor 2. Sebahagian dari aktiviti aku banyaknya dengan kereta. Kereta aku kereta kecil sahaja. Bukan Myvi...  :-) ... tapi Viva. Power stereng dan auto gear. Senang nak kendali bagi orang tua seperti aku. Senang parkir dan murah penyelenggaraannya. Pusat servis Perodua juga mesra pelanggan. Aku salut mereka.

Bila aku fikirkan lama-lama, aku tak dapat nak tipu diri sendiri. Aku ini ketua dalam rumah. Apapun masaalah di rumah ini adalah letaknya di bahu aku. Puncanya dari silap urusku. Tak dapat nak salahkan sesiapa. Aduhh....

Masa-masa beginilah aku merasakan ingin kembali menjadi anak kampung. Ingin kembali hidup di zaman 70an dan 80an dulu yang aku rasakan begitu damai dengan masyarakat yang menghormati kami sekeluarga. Penuh kehijauan dan kedamaian udara.

Kekadang fikir aku tersilap memilih kerja di sini dan tidak di kampung. Sambil bekerja boleh juga berbakti pada kampung tempat aku membesar.

Apapun, itu telah berlalu.... Helaian kalendar telah dicarik dan tak akan bercantum semula. Dan masa tetap berjalan tanpa menoleh...

Ahad, 3 Mei 2015

Rindu


Semalam dan hari ini, aku tak kemana-mana sangat. Memerap di rumah.

Akhmal pun tak ada. Dia pergi ke rumah maknya di Setiawan. Jadi, sunyi rumah ini beri sedikit peluang untuk aku melapangkan fikiran. Tetapi adakalanya ibu_suri minta aku membawanya berjalan-jalan sehari suntuk. Memang kena banyak sabar dan penuh hikmah dalam menjaga insan yang mengalami mood dis-order ni, kan!

Aku teringat emak di kampung. Ajak ibu_suri balik, semalam tapi dia tak mahu. Katanya, nak rehat saja di rumah. Memang begitulah sikap ibu_suri... lebih selesa menginap di rumah sahaja daripada di rumah orang lain hatta di hotel sekalipun.

Aku dapat tahu, Hospital Seberang Jaya telah mendapat peruntukan dari Kerajaan Persekutuan untuk naiktaraf perkhidmatan. Memang elok sangat pun. Aku memang selalu juga la ke hospital ini dan mendapati wad sentiassa penuh dengan pesakit terutama pesakit mangsa kes kemalangan jalanraya. NGO aku pun selalu buat program lawatan hospital ini. Dari satu sudut pandangan, bagus juga adanya PRK ni kan...

Sebenarnya, NGO belum Islam dah lama membuat program sebegini malah bukan sekadar hospital, mereka juga melawat ke penjara, badan-badan kebajikan dan perkampungan orang asli. Mereka boleh berbuat begitu sebab mendapat sokongan dana yang kuat dari penyokong mereka.

Oppsss.. Aku tetiba rindu untuk bergiat cergas semula dengan rakan-rkan seperjuangan. Terasa ada ruang kosong di sudut jiwa ini yang telah lama terbiar tanpa pengisian....

Sabtu, 2 Mei 2015

Berita


Spontan aku tergelak bila menonton Berita tv tadi yang mengatakan ceramah PR di gelanggang futsal Taman Guar Perahu tidak mendapat sambutan.

Rupanya tepat jangkaan aku semalam bahawa jika pihak TV ada buat liputan ceramah malam semalam, mesti berita yang keluar di tv akan kata ceramah PR tak ada sambutan dengan hanya memfokuskan hadirin di dalam dewan.

Tak cukup dengan laporan tak betul itu, blog di sini mengatakan antara penceramah ialah Shamsul Iskandar sedangkan dia tidak datang pun malam semalam. Blog kat sini pula merumuskan kebanyakan yang hadir adalah petugas PKR dan wartawan juga tak tepat.

Gelanggang futsal ini sebenarnya terletak di dalam kawasan padang yang luas. Pengacara majlis beberapa kali menyuruh mereka yang di luar itu masuk ke dalam tapi mereka tidak mahu.

Gelanggang ini baru saja siap beberapa minggu sebelum PRK Permatang Pauh diumumkan. Masa gambar atas di ambil, ceramah baru nak mula. Baru ada seorang penceramah sahaja. Nurul, Wan Azizah dan Lim Guan belum datang.

Orang ramai lebih suka mendengar dari luar gelanggang futsal sebab suasana gelap dan tidak panas. Ada ramai yang duduk di bangku batu, atas motor, dari dalam kereta, duduk di rumput padang dan berdiri. Aku jangka ada dalam sekitar 200~300 orang semuanya. Malah mungkin lebih. Untuk ceramah kelompok, jumlah seperti itu aku kira, okeylah..

Sampai hati si penulis blog dan tv ini menyiar berita yang melencong dari fakta sebenar, ya!

Jumaat, 1 Mei 2015

Tak Dapat Pi

Hari ni heboh orang bercakap tentang apa nak dibuat dengan cuti panjang kali ini. 

Walaupun aku memang dah hari-hari cuti tetapi cuti Hari pekerja ni terniat nak pi KL. Sayangnya, hajat tak sampai bila Along tak jadi balik sebab kena standby kerja di Kelantan. Along sajalah harapan aku untuk menjaga ibu_suri jika aku jadi ke KL. 

Kenapa tak pi KL dengan ibu_suri? Tak boleh la.... nanti, kena hambat dengan geng topi merah... susah pulak ibu_suri!

Tapi takpe lah... ruitn mingguan aku ziarah mertua di Taman Buah Pala, aku laksanakan dengan ikhlas hati. Cadang, Lepas selesai mengurus bapa mertua, aku nak pi gunting rambut kat depan USM. Aku sebolehnya tak mahulah pi gunting kat kedai Hindu tapi apa boleh buat. Kedai Melayu kat tempat aku ni susah benar nak pergi. Ada yang buka, ramai orang. Ada yang bila aku pergi, asyik katup jer. Lagipun, kedai Hindu ni guntingannya menepati citarasa aku yang otai...

Rasa letih juga selepas riadah tadi. Aku buat sungguh-sungguh supaya menjenjen peluh. Pagi ini aku pi riadah kat Bukit DO. Kat situ teduh sikit sebab atas bukit. Sejak seminggu dua ni, panas matahari lain macam sungguh. Tajam menikam kulit....