Isnin, 31 Ogos 2015

Petang Di An Nahdhoh


Petang tadi aku hadiri program Lawatan Jawatan Kuasa IKRAM Pusat ke Pulau Pinang. Aku hadir awal kerana cuba untuk menjadi punctual person. Aku tinggalkan ibu_suri di rumah setelah 'bodek' dia dengan selesaikan mandi dan pakaikan dia serta membelikan makanan yang dia suka.

Aku lebih banyak duduk sendirian dari ngobrol dengan rakan seperjuangan. Entah kenapa aku lebih mahu bersaorangan. Memberi fokus kepada  apa yang nak disampaikan oleh top person dari pusat. Aku rasa, aku banyak ketinggalan info. Dan aku percaya, isu-isu terkini seperti GHB, BERSIH, pendirian serta komitmen IKRAM terhadap misi Malaysia Menuju Negara Rahmah menjadi topik interaktif. 

Di kala orang lain lebih memihak kepada kumpulan yang dia suka tetapi di masa yang sama mengkritik/melabel kumpulan yang dia tidak suka, IKRAM mengambil sikap melihat sesuatu itu melalui kacamata rahmatan lil alamin. IKRAM lebih suka melihat peluang kepada dakwah terutama pada orang belum Islam.

Perut aku semakin berkeriut kerana belum makan sejak tengahari. Sejuk di dalam dewan pula bikin kaki aku rasa bagai di gigit hawa dingin. Aku melihat-lihat jarum jam tawaf di tangan yang menghampiri jam 6 tapi soalan demi soalan teraju seperti tidak mahu ditamatkan.

Akhirnya, aku angkat kaki awal, solat dulu di tingkat bawah sebelum menuju ke warkop kegemaranku di tepi Masjid Kubang Semang. Petang-petang gini makan cucur udang dengan kopi o memang perghhh...

Tak lupa, tapau sebungkus untuk ibu_suri yang mungkin sedang cekak pinggang menunggu aku balik. Dan di sepanjang pemanduan ke rumah aku terkenang saat-saat kebersamaan dengan rakan-rakan nasyid MUHAJJIR!

Sabtu, 29 Ogos 2015

Pemerhati


Rasa terkilan juga sebab tak dapat turun sama ke KL 2 hari ini. 'Kemeriahan' turun ke jalan raya seperti yang pernah aku lakukan di musim-musim lalu persis memanggil-manggil.

Apakan daya. Bukan tak mahu, takut atau dah jemu. Aku terpaksa terima hakikat bahawa kali ini Along tak dapat balik untuk menjaga ibu_suri. Ada kerja, katanya.

Mahu tidak mahu, aku hanya ikuti sahaja seluruh perkembangan rally yang sedikit lain dari sebelum ini melalui facebook dan kinitv.

Aku harap dilain kali sekiranya ada lagi aku akan dapat turun semula. Terasa malu sendiri apabila hanya petah bercakap tetapi bila tiba masa memanggil aku tidak pun turun sebaliknya hanya menjadi pemerhati sahaja.

Jumaat, 28 Ogos 2015

Membilang Zikir


Aku terpanggil untuk menulis mengenai ini bila membaca catatan blogger Kak Zakie di blognya TITISAN NURANI. Ia mengingatkan aku kepada tulisan Astora Jabat dalam majallah Al Islam lama dulu. Semasa lensa mata masih terang dan minat membaca yang tinggi.

Tulisan-tulisan beliau memang kontroversi termasuklah tentang tasbih yang katanya berasal dari agama Yahudi. Masa itu aku memang keliru dengan tulisan sebegitu.

Setelah aku semak, benarlah tasbih telah digunakan sejak dari wujudnya agama Hindu di India. Ertinya, ia bukanlah budaya agama Islam semata sepertimana yang aku sangkakan selama ini. 

Seiring dengan itu, tarbiyah dari usrahku setiap minggu pula memberi kefahaman bahawa tidaklah salah kita mengunakannya asal dengan niat untuk kemaslahatan ibadah. 

Aku sememangnya ada beberapa utas tasbih dan counter pemberian mak dan kawan tabligh. Ada satu tasbih tu yang paling aku sayang sebab biji-bijinya yang licin seumpama jed berwarna kuning keputihan serta susunan yang rapat di dalam gelungan memudahkan aku membuat bilangan. Tasbih itu kemudiannya aku sumbangkan ke surau tempat kerjaku yang untuk kegunaan jamaah. Kata orang, menyumbang dari harta yang kita sayang itu lebih baik, kan?

Gimanapun sekarang ini aku lebih selesa membilang zikir menggunakan jari. Aku dapat info ini seseorang melalui facebook. Senang dan mudah. Tidak perlu ada rasa 'tak best la...' jika terlupa bawa tasbih semasa solat di masjid ataupun mahu berzikir di dalam kereta sambil menunggu.

Khamis, 27 Ogos 2015

Ghazali Daud III


Innalillah... Dapat berita sahabatku - Waghih,  dikejarkan ke wad kecemasan di Hospital Ampang kerana mengalami sesak nafas.

Sebenarnya semasa aku bawa dia singgah membeli jeruk Pak Ali di Yayasan Setee Aisyah, Seberang Jaya sehari sebelum dia balik semula ke Kuala Lumpur, aku dah perasan dia kurang sihat. Mukanya yang gelap dan keletihan. 

Tambahan pula dia berbadan besar tentu cepat penat bila berjalan jauh. Mujur isterinya yang kecil molek boleh membawa kereta dan rajin menjaga kebajikan beliau.

Tapi yang mengagumkan aku, beliau ini memang kaki jalan. Katanya dalam setahun minima 2 kali dia melancung. Hampir seluruh Malaysia dia dah pergi melawat. Sekarang ini katanya, jejak langkah beliau diikuti oleh anak-anaknya.

Aku harap Waghih cepat sembuh dan teruskan kehidupan yang mencabar. Tentu sekali pelanggan nasi lemak, minyak wangi dan top up menanti-nanti kedainya dibuka semula...


Rabu, 26 Ogos 2015

Rindu


Aku memang minat dan selalu mengikuti perkembangan politik tanah air. Bagi aku, politik yang bersih dan segar perlu kekal malah disuburkan demi generasi masa depan.

Namun pergolakan dan bibit-bibit kehancuran yang semakin parah di dalam kedua-dua gabungan parti utama di tanah air ini buat aku rasa rimas dan bimbang. Apa nak jadi dengan negaraku ini dan murbawannya? Sampai bilakah akan berhenti sikap tikam menikam dan robek merobek rakan taulan dan rakyat marhaen...?

Aku rindu pada zaman Kapal Layar dulu. Aku sempat melihat dan mengibar benderanya. Namun aku lebih rindu pada zaman Pakatan Rakyat sebelum ini. Yang hangat dengan ikatan persaudaraan sesama kaum dan agama sambil meredupkan perbezaan pendapat.

Bagi aku, rakyat Malaysia perlu akui bahawa negara ini milik bersama dan perlu kita bangunkan bersama. Sepertimana aku juga dibesarkan oleh mak dengan gaji yang diterima dengan bekerja ambil upah membasuh kain di rumah taukeh-taukeh Cina di bandar. 

Sepertimana aku bila balik dari sekolah singgah dulu di kedai Cina membeli ais kepal atau air lamoned. Membeli kacang putih atau maruku dari keling yang menjaja dalam keretapi mel semasa nak balik kampung.

Namun semua itu seperti mahu di padamkan oleh tangan-tangan yang kononnya menjulang bendera perpaduan sebaliknya ekor mengipas bara perkauman.

Setiapkali balik kampung, aku cuba elakkan untuk bercakap soal politik semasa dengan mak kerana kami memang dari dulu berbeza bendera. Namun siaran di tv yang memang senantiasa berada di depan mak tak pernah mahu menitipkan semangat muhibbah sebaliknya asyik menuding jari. Yang terkadang membuat aku terpaksa memekak telinga bila mak 'meleteri' aku supaya jangan sekali-kali mencampuri hal-hal politik semasa kerana dia tidak mahu kesengsaraan semasa zaman Jepun dan orang putih dulu berulang kembali...

Isnin, 24 Ogos 2015

Ghazali Daud II


Alhamdulillah, semalam kami berjaya berkumpul bersama di Padang Kota Lama. Berbual panjang diselangi dengan makan di astaka tepi laut.

Beriya-iya mereka angkat ibu jari tangan kepada aku kerana begitu bersusahpayah mengelola pertemuan kami ini. Aku pun sebenarnya taklah rasa susah sangat nak urus gathering ini. Mungkin dah biasa dek pengalaman masa giat cergas dalam ngo dulu agaknya...

Pagi, aku bawa Ghazali atau lebih mesra aku panggil Waghih serta isterinya ke Toy Museum setelah terkanja bila ke Taman Rama-Rama tapi rupanya dah tutup.

Kemudian bawa ke Masjid Terapung di Tanjung Bungah, ke Kebun Bunga kemudian singgah makan di gerai belakang Stadium Bandaraya  sebelum bawa mereka ke Bukit Bendera. Aku sendiri yang dah lama duduk di Pulau Pinang tapi lama juga tak ke Bukit Bendera terpinga-pinga macam Rusa masuk kampung melihatkan perubahan logistik dan lokasi Bukit Bendera. Dulu agak lengang di sini berbanding sekarang yang sibuk hingga terpaksa diadakan kawalan oleh pasukan RELA.

Apapun, segala keletihan terubat bila dapat melihat senyum dan sendagurau kawan-kawan bila berpeluang berjumpa semula setelah 30 tahun berpisah dari Institut Kemahiran MARA Kuala Lumpur, tempat kami sama-sama belajar dulu.

Selepas ini entah siapa pula nak mai untuk re-union bersama kami di Utara. Aku no problem malah suka sangat untuk organise selagi ada kederat dan masa...

Sabtu, 22 Ogos 2015

Ghazali Daud


Ini adalah kawan lama aku semasa belajar di IKM Kuala Lumpur. Aku panggil dia Waghih. Geng memasak kat dapur bila tiba semester 4 yangmana kami tidak lagi duduk di hostel sebaliknya terpaksa menyewa rumah kecil yang kami gelarkan sebagai rumah kotak di Kampung Pandan.

Setelah 30 tahun berpisah seusai belajar, tup... tup... kami bertemu dalam grup wassup. Amboi... bukan kepalang gembiranya aku. Tambahan lagi bila mendengar telor Negeri Sembilannya yang sesekali buat aku tersenyum panjang.

Paling aku ingat ialah bila kami berdebat pasal gulai lemak samada sepatutnya berwarna putih atau berwarna kuning. Kenangan itu buat aku terasa rindu pada saat-saat belajar 30 tahun dulu.

Hari ini dia datang ke Pulau Pinang untuk bertemu kawan-kawan sepengajian kami di Utara. Oleh kerana aku ada masa luang sehari dua ini, aku tawarkan diri aku untuk menjadi tour guide dia selama di sini.

Tak sabar nak temui dia esok di Hotel Sentral SeaView, Tanjung Tokong. Aku akan bawa dia berjalan-jalan mungkin ke Taman Rama-Rama, Botanical Garden, Bukit Bendera dan Padang Kota Lama. Kunjungannya pendek. Justeru tak banyak tempat boleh aku tunjuk.

Sudah tentu di celah-celah itu nanti aku akan bawa dia makan nasi kandar Line Clear yang memang popular bagi orang Penang....

Khamis, 20 Ogos 2015

Ayam Daun Limau Purut

Lepas riadah pagi tadi aku berfikir-fikir nak masak apa untuk makan tengahari ini. Kalau takat aku sorang tak susah sangat. Makan kat kedai tepi Masjid Kubang Semang tu aje pun dah cukup. Tapi bila mengenangkan ibu_suri dan Akhmal di rumah, kena ambil kira maslahat masakan sendiri.

Semalam aku beli sayur kangkung kat kedai Samilah, Penanti. Kemudian beli ikan cencurut basah lalu goreng sendiri di rumah. Ah.. hari ini ingat beli gulai lemak di kedai yang sama dan ayam basah... goreng sendiri di rumah.

Aku memang tak pandai masak gulai mulai semua ni. Namun masih mahu cuba untuk memasak sendiri sekadar apa yang aku reti.  Rasanya, umum tahu bahawa masakan dari air tangan sendiri adalah lebih baik dari menghidang makanan yang orang lain memasak.

Aku cuba selak-selak resipi di internet. Yang paling mudah dan cepat untuk disediakan sebab waktu Zohor semakin hampir untuk berjamaah di masjid. Aku teringat kat tepi rumah aku ada sepokok limau purut yang lebat daunnya. Kenapa aku tidak manafaatkan ia?

Akhirnya aku jumpa di sini. Memang simple  awas-awasnya... bawang putih dan daun limau purut saja. Dan hasilnya....


Kalau ibu_suri kata sedap dan Akhmal pula makan 2~3 ketul ayam, kira 'A' lah masakan aku tu. 

Rupanya, sedap sesuatu masakan tidak semestinya terletak pada berapa hebat ramuannya akan tetapi ialah bila kena gaya campuran bahan dan garam kunyitnya...

Rabu, 12 Ogos 2015

Kitaro


Bebaru ni aku pinjam box set cd Kitaro dari anak sulong JH

Malam ini, bilamana aku dan ibu_suri tak dapat memicing mata, aku ajak ibu_suri bersiar. Jalan yang lengang memudahkan aku memandu secara santai sambil mendengar kombinasi alunan musik dan irama alam dari cd Kitaro ini.

Aku mula berjinak mendengar musik Kitaro ini semasa aktif dengan persembahan pentas di bawah anjuran bersama JIM, ABIM dan beberapa ngo lain.  Paling ketara ialah semasa kami menganjurkan pementasan di lapangan Fort Cornwalis, Padang Kota Lama atas tema membantah kekejaman yang dilakukan oleh tentera Kosovo terhadap rakyat Bosnia. Musik Kitaro inilah yang banyak mengiringi persembahan kami itu. Satu kenangan manis yang sukar dilupakan.

Apa yang aku tahu tentang musik Kitaro ini ialah ia banyak menggabungkan ciri-ciri alam semulajadi ke dalam gubahan musiknya. Kalau nak dengar satu dari musiknya boleh lah ke sini.

Terfikir... bagus juga kalau aku ada sekeping cd  Kitaro ni sebagai koleksi terbaru. Boleh juga dengar bila balik kampung hujung minggu ni. Tak perlu pinjam lagi...

Isnin, 10 Ogos 2015

Anak


Along balik dari Kepong hari Sabtu lepas. Tumpang kawan serumahnya bawa desktop yang katanya nak diberi kepada sepupunya terletak selang 2~3 rumah saja dari rumah aku.

Malamnya aku sengaja ajak dia keluar makan di Restoran Makbul, Seberang Jaya. Aku rindu untuk menikmati semula aura kebersamaan dengan anak-anakku seperti zaman mereka masih kecil dulu.

Aku tahu, ibu_suri lebih mahu duduk saja makan saja di dalam kereta kerana berat badannya membuat dia sukar untuk ke restoran. Selesai aku belikan makanan untuk ibu_suri dan uruskan kemudahan untuk dia makan dan minum, aku duduk bersama Along memesan menu yang sama... sup ayam.

Berbual-bual tentang kehidupannya di Kepong dan tentang simpang siur aku menjaga ibu_suri. Juga kebimbangan aku tentang masa depan Akhmal.

Sempat juga aku nasihatkan dia tentang jodohnya, supaya dia berusaha menyimpan duit dari sekarang untuk masa tua dan menasihatkan dia supaya selalu menziarahi tok nek daan mak tok serta saudara mara lain bila sesekali balik.

Aku berasa seronok berbual dengan anakku yang sudah boleh aku anggap sebagai kawan dengan bahasa orang dewasa. Terasa rugi pula sebab ada anak 2 ni jer... Kalau ada ramai tentu lagi best...

Sabtu, 8 Ogos 2015

Memburu Dunia


Alhamdulillah, Viva aku dah siap dibaikpulih oleh Perodua semalam. Terasa nyaman di hati kerana dapat memandu semula kereta sendiri. Sebelum ini meminjam kereta Angah untuk ke mana-mana. Susah hati juga dibuatnya walaupun bukan pasal anak tapi menantu yang aku tidak tahu perasaan apa yang bermain di hatinya. Kedua Viva aku dan Angah di beli atas nama Ayu.

Jadi,  sebelum aku pulangkan kembali kereta, aku hantar cuci dulu di Rapid CarWash, Petronas dan isi minyak penuh tangki di Petron, Seberang Jaya. Supaya nanti mereka tak terkata apa tatkala menerima semula kereta mereka dalam kondisi yang  baik. Bukan mudah juga nak jaga hati menantu. Ini baru seorang...

Apapun, bulan ini memang aku ada banyak agenda jalan jauh. Balik tengok mak di kampung, kenduri kahwin di Kampar dan ke Slim River ziarah bapa saudara.

Aku khabarkan pada ibu_suri;

"Sebenarnya, biarlah kereta jenis apapun, yang penting kita jaga dengan baik. Selagimana ianya memudahkan perjalanan kita selagi itu kita guna. Usah ingat nak beli kereta baru yang lebih besar. Dunia ni takkan puas untuk diburu..."

Merujuk pada rungutan ibu_suri yang sering menyuruh aku menukar kepada kereta baru kerana kereta ini pada dia... sempit!

Isnin, 3 Ogos 2015

Teh Lemon


Sepanjang hari ini sunyi jer suasana rumah. Dah 2 hari ibu_suri tak boleh tidur; hari ini dia qada' semuanya. Akhmal pun sama, 2 hari merayap ntah ke mana. Tidur 'mati' dalam bilik walaupun talipon asyik berbunyi.

Jadi, aku tak perlu kalut nak masak. Apa yang ada kat dapur aku makan. Bila bangun ibu_suri sekejap tadi, aku gorengkan nasi untuk dia makan dengan sambal belacan serta minum teh hijau dengan campuran hirisan lemon.  Kemudian berdengkur balik.

Lemon tu sebenarnya Along yang beli Raya dulu. Tinggal sebiji dalam peti ais. Tu yang mai idea campurkan ke dalam teh Yunan atau teh hijau, minuman rutinku akhir-akhir ini bagi mengganti 3in1 setiap hari.

Aku belek-belek kat internet, rupanya khasiat lemon ini berbeza jika di campur ke dalam air sejuk  - kita cuma dapat khasiat vitamin C atau air panas - kita akan mendapat Lyccopene yang bagus untuk pencegahan kanser. Boleh baca lanjut di sini: lemon. Tapi kalau dapat meminumnya dengan teh tanpa gula, boleh awet berat badan. Tu kalau ikut kenyataan kat sini la...

Apapun, aku masih tak dapat tinggalkan 3in1 100% lagi. Susah juga nak buang habit minum ini yang jadi rutin aku selama bekerja dulu.

Hujan lebat pulak di luar...

Ahad, 2 Ogos 2015

Ida


Semasa aku belek-belek album gambar lama petang tadi, aku terjumpa gambar ini yang aku potong dari majallah Insight terbitan 2 kali sebulan oleh kilang tempat aku bekerja - Hitachi, dulu. Hati aku tiba-tiba terasa amat sayu mengimbau kisah lama.

1983 adalah tahun ke 2 aku bekerja di bahagian end of line HISET II yang keluaran utamanya adalah cip memori. Masa itu cip memori 250k bytes sedang diperkenalkan. Aku adalah juruteknik yang tugasnya menyelenggara mesin pengeluaran. Noraida atau Ida adalah operator baru yang ditugaskan menjaga salah satu dari banyak mesin pengeluaran yang setiap satu dianggar berharga hampir setengah juta.

Ida dikatakan antara operator yang cantik dan manis ketika itu. Perwatakannya yang pendiam, gemar berbaju kurung dan tidak gedik seperti operator lain menambah cantik peribadinya dan menjadi sebutan ramai operator lelaki atau juruteknik lain.

Aku yang masa itu memang seorang lelaki pemalu lantas tak banyak bersembang dengan operator apatah lagi yang baru datang. Namun operator lama punya kerja, mereka cuba pegu (memadankan) aku dengan Ida. Mereka suruh Ida ajak aku bawa jalan-jalan di Penang kerana Ida adalah anak Kuala Lumpur yang belum biasa dengan Penang. Rupanya, Ida adalah anak tiri kepada chief guard kilang aku - En Rahim. Ida juga seorang yang pendiam. Kalau dalam bas, kami tak cakap banyak... diam saja sepanjang perjalanan.

Panjang ceritanya.... aku pendekkan. Akhirnya aku berkawan dengan Ida (kawan saja sebab masa tu memang aku tak reti nak bercinta). Aku bawa dia balik kampung jumpa keluarga aku. Aku juga berjumpa dengan maknya yang tinggal di Jalan Pasir Belanda, Gertak Sanggul. Aku berkawan secara ikhlas. Tak reti nak kona-kona. Bila berjalan bersaing pun jauh-jauh jarak antara kami berdua. Memang segan dan tak reti...

Satu hari, masa itu aku shif malam, dapat berita Ida mengidap demam campak. Aku tak dapat nak pergi tengok dia. Masa tu aku bukan ada apa pun... tidak motor jauh sekali kereta. Aku pergi balik kerja dengan bas kilang.

Hinggalah ke satu malam aku diberitahu dia dah kembali ke rahmatullah. Masa aku keluar untuk balik kerja dan bercadang dengan beberapa kawan untuk ke rumah Ida, bapa tiri Ida menahan aku di pintu guard house.

"Saya minta maaf banyak-banyak. Masa arwah sakit, banyak kali dia sebut nama kamu. Nak jumpa kamu tapi tak tahu pasal apa... saya tak berusaha bagitau kamu."

Aku cuma diam. Tak tahu nak kata apa.

Pagi itu, aku membonceng motor kawan-kawan yang kebanyakan kerja di bahagian molding untuk ke sana. Namun bila sampai, Ida telah pun dikapankan. Mak Ida menangis menceritakan kepada aku saat-saat akhir kematian Ida yang selalu menyebut nama aku. 

Tak dapatlah aku nak tatap wajahnya buat kali terakhir. Cuma yang aku sempat dengar sipi-sipi dari entah siapa, Ida menganggap aku sebagai abangnya sebab Ida adalah anak tunggal mak dengan suaminya yang pertama yakni bapa Ida.

Cuma aku perasan... beberapa hari sebelum aku bertukar kerja shif malam, dia datang kerja dengan memakai seluar. Kawan baiknya berkali-kali beritahu aku bahwa Ida beriya-iya minta bersama dia ke pasaraya untuk membeli seluar. Dan memang kelihatan janggal di mata aku melihat dia berjalan ke kantin waktu break dengan memakai seluar. Tapi tak tergerak mulut aku untuk bertanya. Beberapa orang kawan aku juga menzahirkan pada aku akan perubahan itu dan kata mereka, Ida sebenarnya lebih manis berbaju kurung daripada memakai seluar.

Selepas aku berkahwin dengan ibu_suri, antara yang awal aku perbuat ialah membawa ibu_suri menziarahi pusara Ida yang tak jauh dari rumah bapa tirinya itu. Aku ceritakan sebahagian saja kisah aku dengan Ida kepada ibu_suri. Sebahagian lagi aku simpan dalam memori aku sendiri yang kian lama kian kabur ini...


nota:
Terima kasih Nor Azimah dan pB atas saranan supaya aurat Ida ditutup...