Sabtu, 29 Oktober 2016

Error

Bila aku belek belek catatan lama dalam blog aku ni, aku geleng kepala sendiri...

Terlalu banyak spelling error.

Memang tidak selesa menulis melalui talipon ini. Dah lah skrin yang kecil, keypad juga sempit.

Nak minta laptop dari anak anak terasa tak mahu lagi mengganggu dan menyusahkan mereka.

Nyaris nyaris aku malas menulis lagi.

Namun dek kerana menulis sahaja antara aktiviti yang tinggal disamping mendengar lagu yang mana semua ini adalah antara penawar dan penguat semangatku dalam perjalanan mengakhiri sisa hidup yang hening dan kesaorangan ini.

Semasa aku membersihkan ibu_suri di bilik air aku berfikir...

'tak sepatutnya aku merungut atas apa yang terjadi ke atas diriku.

aku masih beruntung kerana masih punyai istri yang menjadi peneman walaupun sedikit membebankan.

jikalah ditakdirkan sidia tiada lagi bersamaku, aku berkemungkinan akan tinggal sahaja di kampung... di rumah yang pernah membesarkan aku.

biarlah hayatku bersemadi di sana...

di sisi mak, abah dan adik adikku...'

Maaf... jika tulisan ini dan seterusnya masih ada spelling error.

Seperti jugalah kehidupan laluku... yang errornya takkan dapat diperbetulkan semula...

Khamis, 27 Oktober 2016

Sebuah Rumah...



Bila aku melihatkan jiran atau kawan sibuk membesarkan rumah terutama yang dah boleh mengeluarkan wang KWSP aku pun teringat cerita mak di satu hari bila aku balik kampung...

'Abah kamu dulu rajin perbesar rumah sikit demi sikit.

Satu hari mak tegur abah kamu...

Buat apa nak perbesar rumah lagi. Yang dah ada ni pun dah besar sedangkan anak kita sorang demi sorang dah besar dan tak lagi tinggal dengan kita.

Esok esok ni, tinggal kita bersua jer...'

Sekarang ini memang terbuktibbetul kata mak itu. tinggal mak sorang saja di kampung. Anak anaknya semua tinggal dibrumah sendiri termasuk aku.

Malah kalau mak yang punya 8 anak pun akhirnya tinggal bersaorangan di rumah si hujung usia apatah lagi aku yang cuma ada 3 anak.

Dah hampir sebulan sejak Akhmal keluar rumah tanpa aku tahu kemana ( itu pun nasib bauk talipon masih dapat saling berhubung ), tinggal aku dan ibu_suri sahaja di sini.

Rumah yang boleh dikategorikan sebagai besar juga berbanding rumah jiran menjadi kosong dan sunyi.

Sebab itulah yang menjadikan ibu_suri semakin memerap aku hinggakan aku nak solat di masjid pun dia tak bagi...

Selasa, 25 Oktober 2016

Kerenah Makan


Melayani kerenah 'mau makan apa hari ini' juga sesuatu yang perlukan kesabaran, ketenangan dan kelapangan dada yang tinggi.

Sewaktu menghidupkan enjin kereta selalu nya aku akan bertanya siap siap pada ibu_suri...

nak makan apa?

atau...

nak makan di mana?

Supaya senanglah aku nak pilih jalan ke arah mana bilamana mula memegang stereng kereta.

Jawapan yang paling susah aku nak hipotisiskan ialah....

Entah...

Sambil dia merenung muka aku tanpa senyum. Tidak juga masam. Tidak juga tawar.

Maka aku akan pasrah sahaja seolah olah biar keadaan memberi jawapan.

Tadi... katanya teringin makan nasi dalca di Restoran Nurul Din, Permatang Pauh.

Nasib baik masih ada lagi walaupun cuma serdak.

Tak mahu lauk apa apa. cuma nasi dengan dalca sahaja... cukup, ujar ibu_suri.

Bila mamak tu tanya, aku hanya menegakkan jari telunjuk bermaksud satu bungkus sahaja.

Tergerak hatiku begitu kerana bimbang ibu_suri tak habis makan jawapnya akulah yang kena perabiskan.

Bila saja aku buka bungkusan berlapikkan pinggan plastik, aku dah boleh agak tindakbalas selera ibu_suri agak negatif.

Tak sedap... ujarnya sambil menghulur semula pinggan ke arah aku sedangkan cuma baru beberapa sudu sahaja nasi itu tersuap ke mulutnya.

Tanpa banyak kerenah, aku sambung memakan nasi dalca itu.

Takda apa salahnya nasi ni. Sedap pun... respon aku yang memang tak banyak ragam dalam bab makan minum ni.

Sabar sahaja dia menunggu aku perabis nasi dalca itu. Dan bila aku habis makan...

I lapar lagi la. Nak makannn... tapi makan apa?

Aku memandu keluar lampu isyarat mengarah ke lebuh raya.

Ternampak  Restoran Subaidah.

Sini macam macam ada. Roti canai, capati, tose, mi goreng, koay teow, bihun, nasi, roti nan....bla...bla...bla...

Koay teow goreng pedas.... jawapnya... jangan lupa bubuh sos cili...

Siap pesan, aku kembali ke kereta dan bukakan bungkusan untuk dia makan.

3/4 pemakanan,  dia menghulur kepada aku.

Tawaq... komennya.

Aku pun berhenti dari membelek talipon lalu menghabiskan baki koay teow.

Memang tawar rasanya tapi tetap habis aku sebat.

Tak baik mengondem makanan yang dah tersedia di depan kita, fikirku.

Aku mengadu hal ini kepada anak anakku melalui wassup keluarga agar mereka tahu antara situasi yang aku hadapi saban hari dengan ibu mereka.

Sempat aku coretkan....

'Ayah harap ayah akan sempat menjaga ibu kamu sehingga akhir hayatnya...'

Mesej itu tidak berjawap seperti mesej mesej sebelumnya...

Isnin, 24 Oktober 2016

Keretaku

Boleh dikatakan setiap kedai makan yang aku singgah membeli nasi bungkus telah maklum.

Dan akubpun dah tak ada rasa malu nak mengakui bahawa aku dan ibu_suri makan di dalam kereta kerana ibu_suri tidak upaya keluar berjalan ke meja makan kedai. Satu lagi kerana hampir kesemua meja makan adalah plastik yang dibimbangi tidak mampu menampung berat badan ibu_suri.

Jadinya, kereta kecil aku ini dah jadi macam caravan. Serba serbi ada. Pinggan, sudu, mangkuk, tisu, tuala kecil.

Hinggakan dalaman kereta aku dah kotor semacam ada anak kecil layaknya.

Dah beberapa kali ibu_suri terk*nc*ng hinggakan beberapa hari baru hilang baunya.

Justeru itu kalau ada orang lain nak tumpang berjalan aku terpaksa tolak.

Tempat duduk belakang memang penuh dengan beg, tuala kecil yang tersidai serta bungkusan nasi dan air yang tergantung.

Dalam dashboard memang penuh dengan cd dan kaset habuan halwa telinga tika memandu.

Adalah 'wajib' aku bawa ibu_suri berjalan jalan 2X sehari... siang dan malam.

Sebab itu nama aje aku dah tak bekerja tapi servis kereta 2 kali dalam 3 bulan itu dah macam masa aku bekerja dulu.

 Kalau nak dibandingkan kilometer kereta aku lebih banyak dari kereta anak aku walaupun bezanya hampir 2 tahun.

Ahad, 23 Oktober 2016

Zaiton


Terima kasih atas komen membina dari kalian lewat tulisan aku sebelum ini tentang paras kolestrol yanh aku idapi.

Aku juga sempat layari laman web tentang khasiat minyak zaiton.

Rupanya disamping ianya berkesan untuk merawat kolestrol jahat (LDL), ia juga berkesan untuk kes tapak kakibyang pecah.

Aku juga sejak akhir akhir ini masaalah kulit tapak kaki yang pecah. Jadi, pilihan pengambilan minyak zaiton adalah sesuai untuk aku dan ibu_suri.

Selain dari itu rupanya minyak zaiton mampu merawat penyakit kulit seperti Eczamia.

Aku segera bagitahu Angah akan penemuan aku ini.

Kedua dua anak Angah yakni Marissa dan Qaisara mengalami Eczamia sejak lahir.

Paling teruk ialah Qaisara. Ratus ringgit jugalah terpaksa di keluarkan samada untuk rawatan klinik swasta dan pembelian susu khas.

Botol yang aku beli (atas) tadi di kedai Ayam Ori, Kubang Semang adalah RM38. Impot dari Palestin. Boleh tahan juga tu. Tambahan pada aku yang dah tak bekerja dan duit simpanan juga kian susut.

Mungkin ada yang lebih murah cuma tak pasti keberkesanannya sejauhmana.

Apapun.... lets try first. Minum sesusu sebelum makan pagi dan oles di tapak kaki sebelum tidur.

Muga di perkenankan oleh Allah!


Rabu, 19 Oktober 2016

Kolestrol

Sebenarnya aku ada membuat pemeriksaan kesihatan semasa mendapat kupon dari KWSP (atau SOCSO... tak ingat...) beberapa tahun lalu.

Hasil dari pemeriksaan itu doktor memberitahu bahawa tahap kolestrol dalam badan melebihi paras sihat.

Walaupun beriya-iya doktor menasihatkan aku supaya kurangkan makan itu dan ini namun disiplin aku tak bertahan lama... aku kembali ke tabiat makan yang lama.

Sekarang ini aku mula bimbang sebab berasa tidak cukup cergas.

Basuh kereta tadi pun terasa amat letih persis berlari keliling padang bola.

Aku teringat perbualan aku dengan adik ipar masa balik kampung bebaru ini.

Katanya, dia amalkan minum minyak zaiton 2 sudu sehari. Baru ni bila diperiksa semula oleh doktor, katanya tahap kolestrol bertambah baik.

Aku ingat nak ikutlah cara ia. Nak makan oat seperti sebelum ini tak praktikal pada aku. Tak sedap lansung. Sudahnya, oat dalam tin dari warna putih dah jadi warna kuning.... luput tarikh agaknya.

Mungkin kalian ada nasihat atau pengalaman berguma untuk dikongsi dengan aku.

Selasa, 18 Oktober 2016

Hari Iniku...

Dalam seminggu ini aku terasa ada sedikit perubahan dalam diri. Ini adalah sesuatu yang posiitif. Harap ianya berterusan.

Pertamanya, aku berasa mudah untuk bangun solat Subuh di awal waktu. Yerjga bila terasa hendak buang air, melihatkan jam hampir waktu Subuh, aku tidak tidur semula sebaliknya mengambil wudhu dan menunggu azan berkumandang.

Keduanya, hampir 100% dari masa masa memandu aku mendengar lagu-lagu nasyid. Berbanding sebelum ini lebih banyak mendengar lagu-lagu bukan nasyid.

Sepertilah doaku sebelum ini didengari Tuhan...

Aku harap, perubahan ini berterusan dan terus berubah.

Seperti yang aku catatkan ke dalam fbku kelmarin bahawa...

'Hari iniku sepatutnya lebih baik dari hari semalam'

Ahad, 16 Oktober 2016

Menulis

Bermasaalah juga nak menulis blog menggunakan talipon berbanding laptop.

Nak ziarah blog kawan kawan juga terasa malas sebab skrin yang kecil.

Apapun aku harap keterbatasan ini tidak mematahkan semangat aku untuk terus terusan menulis.

Merakamkan segala episod hitam putih kehidupanku untuk renungan masa hadapan.

Hmmm.... Untuk kepuasan diri juga..

Sabtu, 15 Oktober 2016

Pajeri


Lama tak menulis. Laptop aku hilang Sabtu lepas semasa balik kampung ziarah mak. Tak mahu syak sesiapa walaupun sesekali wasangka itu singgah juga.

Malam tadi, aku singgah beli teh ais untuk ibu_suri di kedai makan Nasi Malam, Pongsu Seribu.

Dah pukul 11 lebih. Taukeso kedai tu pun tengah berkemas nak tutup perniagaan.

Senyum je taukeso yang berpakaian menutup aurat kemas. Aku memang selalu makan di sini. Cuma malam ni nak beli air sahaja.

"Nah.... ambiklah. Pajeri..." ujar taukeso sambil menghulurkan bungkusan teh ais dan pajeri.

Baki laukpauk sebelum tutup kedai lah tu, bisik hatiku yang senang hati menerimanya. Mesti ibu_suri suka ni...

Tak perlulah aku keluar makan tengahari ini.

Bila dah tinggal berdua, makan nasi dengan sayur pajeri ini sahaja pun dah memadai. Selagi ibu_suri tak menolak.


Khamis, 6 Oktober 2016

Mendung




Sudah 5 hari Akhmal ke KL, kononnya nak duduk bersama emak kandungnya (tapi aku sendiri ragu-ragu kerana ibu_suri mengatakan emaknya tinggal di Klang).

Semalam dia minta duit poket. Katanya nak pergi kerja tapi tapi tak cukup duit nak isi minya 2T motor. 

Bila aku tanya...

'Kamu kerja kat mana?'

'Kt cni arhh mna lgy'

Tak mahu fikir yang bukan-bukan sedangkan aku pun tak pasti. Aku berdoa muga Allah lindungi dia.

Terasa lapang rumah ini bila dia tak ada. Akan tetapi terasa pula sunyi. Setiap kali bunyi motor Yamaha 125 yang dipacu deras, aku berasa seperti dia sedang balik ke rumah.

Dan yang paling letih untuk aku menjawap soalan dan mengendurkan kesusahatian ialah ibu_suri.

Aku katakan... 

'Akhmal itu anak lelaki dan dah besar panjang. Pandai-pandailah dia jaga diri.

Mungkin rezekinya bukan di tempat sendiri tetapi di tempat orang. Macam Abang juga...'

Untung juga ibu_suri, ada aku yang boleh memujuk dan mententeramkan hatinya bila resah sedangkan resah aku terpaksa aku pedam sendiri.

Beberapa hari ini langit itu mendung dan hujan saban waktu. Seperti jugalah hati ini...

Sabtu, 1 Oktober 2016

Lepas




Tiba-tiba saja bila aku balik dari berJumaat semalam, Akhmal dah ada di pintu rumah.

"Macam mana kamu boleh balik ni?" tanya aku tanpa senyum.

"Dah setel dengan balai," jawabnya lalu menyentak engkor motor berlalu pergi.

Terpinga-pinga juga aku dibuatnya. Takkan semudah itu IPD melepaskan dia. 

Paling gembira mestilah ibu_suri. Sejak dia tahu Akhmal ditahan, memang emosi ibu_suri cukup down. Makan pun tak lalu walaupun aku offer KFC.

Sepanjang hari aku merasa tak sedap hati. Aku ambil keputusan untuk menyemak sendiri status penahanan Akhmal ini di IPD.

Lepas Isyak semalam, aku terus ke pekan Kepala Batas. Letih juga aku nak menjawap soalan bertubi-tubi dari ibu_suri yang penuh dengan kenapa dan mengapa aku ke sana.

Dalam balai (bahagian Narkotik) penuh dengan polis dan pesalah bergari. Baik polis dan pesalah, kebanyakkannya India. Ada juga polis berbangsa Cina dan mungkin Sabahan/Serawakian.

Kebanyakan polis kat dalam ini berpakaian preman. Dah tak boleh bezakan samada polis atau pesalah kalau tidak melihat dengan lebih dekat.

Beriya-iya polis India itu menceritakan proses pendakwaan, ujian makmal dan penahanan yang bagaimana kepada aku. 

Aku angguk sahaja walaupun sebenarnya sedikit sahaja penerangan sudah boleh memahamkan aku kenapa Akhmal dilepaskan buat sementara waktu sehingga keputusan air kencingnya di hantar oleh makmal hospital.

Pendekkata, Akhmal dilepaskan mungkin sebulan, 2 bulan atau 3 bulan barulah akan diajukan ke mahkamah.

Itu proses biasa yang memang aku dah faham kerana kes Akhmal ditahan polis samada kes curi motor atau terkini positif urin dah entah ke berapa kali aku alami.

Maka, ketenangan aku pada Khamis lalu berkocak semula...